KUALA LUMPUR: Malaysia bakal memiliki seorang lagi pemain berbakat besar yang lahir daripada sistem bola sepak antarabangsa apabila Julian Johan Bechler mencapai persetujuan untuk mengikat kontrak dengan pasukan Johor Darul Ta'azim III (JDT III).
Pemain berdarah kacukan Malaysia dari Frankfurt, Jerman itu dijangka membuat kemunculan sulung dalam saingan Piala Presiden pada Jun depan sebaik semua urusan berhubung dokumentasi selesai termasuk mendapat kad pengenalan Malaysia.
Ibu Julian, Datuk Nooraini Anne Bechler adalah rakyat Malaysia dan itu sudah cukup untuk melayakkan pemain yang ketika ini beraksi bersama skuad bawah 19 tahun Tus Hornau itu untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya.
Skuad senior Tus Hornau adalah pasukan yang beraksi dalam Divisyen 2 Liga Jerman.
Beraksi di posisi penjaga gol, Julian nyata teruja untuk memulakan kerjayanya bersama JDT III dan menyifatkan ia satu penghormatan buat dirinya berpeluang menyarung jersi pasukan dari selatan tanah air berkenaan yang memiliki reputasi tinggi dalam kancah bola sepak tempatan.
"Disebabkan saya akan tamat pengajian di Frankfurt tahun ini, jadi saya fikir ini adalah satu peluang untuk saya mengembangkan kerjaya saya di negara lain. Saya memilih Malaysia kerana ibu saya berasal dari Malaysia dan saya mempunyai keluarga besar di sini.
"Lagipun, memang setiap tahun pada musim panas saya akan kembali ke Malaysia dan tahun lalu saya ada menjalani ujian dengan skuad bawah 19 tahun Malaysia di bawah kendalian jurulatih Bojan Hodak. Namun, pada ketika itu saya tidak mempunyai kad pengenalan Malaysia dan saya tidak boleh bermain.
"Bojan kemudiannya mencadangkan nama saya kepada JDT III dan mereka menawarkan kontrak kepada saya," kata Julian kepada BH Sukan.
Selain beraksi bersama JDT III, Julian turut ditawarkan biasiswa oleh Universiti Raffles Iskandar di Johor Bahru bagi melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan selama tiga tahun.
Menjadikan penjaga gol Manchester City, Ederson sebagai idolanya, Julian berkata dia bersedia sekiranya skuad muda negara berminat untuk menggunakan khidmatnya.
"Kenapa tidak? Jika ada peluang, saya sentiasa bersedia," kata Julian ketika diajukan soalan adakah dia bersedia untuk beraksi bersama Harima Malaya.
"Di Frankfurt, saya bermain bola sepak di tahap yang lebih tinggi. Jadi, sudah tentu saya boleh berkongsi pengalaman yang ada bersama rakan sepasukan."
Ulasan
Catat Ulasan