JDT waspada penangan 'giant killer'





PENJAGA gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias menyifatkan pasukan bimbingan Datuk K Rajagobal, PKNS FC sebagai 'giant killer' yang mampu melakar kejutan dan mencacatkan rekod tanpa kalah JDT selepas mengharungi 13 perlawanan Liga Super.
Menurutnya, tugas rumit menanti pemain skuad Harimau Selatan apabila bertandang ke Stadium Shah Alam namun percaya dengan persefahaman dan kelebihan rakan sepasukan.
Katanya, selepas tidak beraksi dalam dua perlawanan, menewaskan FELDA United 2-0 dalam saingan Liga Super dan kejutan dengan menewaskan juara bertahan Liga Juara-Juara Asia (ACL), Kashima Antlers (Jepun) 1-0 dalam perlawanan baru-baru ini, Farizal kini cergas untuk diturunkan.
"Saya terlepas dua aksi penting untuk JDT akibat kecederaan lutut. Alhamdullilah saya kembali pulih dan beraksi semula menjaga gawang.
Apa pun saya tidak menafikan kelibat Izham (Tarmizi Roslan) yang diturunkan untuk mengganti saya beraksi cemerlang sepanjang dua perlawanan itu.
"Saya gembira membantu JDT mencipta kemenangan 2-0 menewaskan Pahang, Selasa lalu dan tidak dinafikan ia perlawanan sukar bagi kami namum hasil kerjasama berpasukan, kami berjaya merealisasikan sasaran mencipta kemenangan.
"Jika terus diberi peluang beraksi terutama menentang PKNS FC, saya akan beri persembahan terbaik dan perlu konsisten kerana kami berada di landasan terbaik untuk memburu kejuaraan liga tetapi tidak boleh terburu-buru bagi mengelak berada dalam tekanan," katanya.
Farizal berkata, walaupun kembali beraksi selepas tidak diturunkan dalam dua perlawanan lalu, perasaan gementar tetap ada namun semua itu diketepikan bagi memastikan sasaran JDT memburu kemenangan terlaksana.
Katanya, untuk pertembungan menentang PKNS FC, setiap pemain JDT termasuk dirinya akan turun dengan corak permainan lebih konsisten tatkala mengetahui kekuatan dan kelemahan pasukan lawan yang mampu memberi kejutan jika tersilap langkah.
"Kami tidak boleh cuai dan perlu bersedia dengan taktikal yang akan dipratikkan pemain PKNS FC, kita tahu mereka gemar melakukan serangan balas yang pantas.
"Oleh itu kami harus berdisplin dan tidak terperangkap dengan helah pasukan PKNS FC bagi memastikan kita membawa pulang tiga mata walaupun beraksi di tempat lawan," katanya.

Ulasan