KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa akur tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas tewas 0-2 kepada Gyeongnam FC dalam perlawanan terakhir Kumpulan E di Korea Selatan, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Bolasepak Changwon, skuad Harimau Selatan hanya mampu bertahan hingga minit ke-65 apabila Luc Castaignos meledak gol pembukaan buat Gyeongnam.
Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Benjamin Mora cuba bangkit dengan beberapa gerakan untuk mencari gol penyamaan, namun tidak berhasil.
Sebaliknya, pintu gol Harimau Selatan sekali lagi bocor pada masa kecederaan hasil jaringan Takahiro Kunimoto untuk mengesahkan kemenangan 2-0 tuan rumah.
Kekalahan itu menyaksikan JDT mengumpul empat mata selepas enam perlawanan apabila menang sekali, seri sekali dan tewas empat kali.
JDT menghuni kedudukan tercorot kumpulan E, manakala Gyeongnam yang berjaya mengumpul lapan mata berada di tangga ketiga selepas Kashima Antlers berjaya menundukkan Shandong Luneng FC 2-1.
JDT tampil buat kali pertama dalam saingan tertinggi Asia itu selaku juara Liga Super dan mereka meraih kemenangan tunggal ketika menewaskan Kashima Antlers di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, 8 Mei lalu.
Ulasan
Catat Ulasan