PENGENDALI pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam kelas yang berbeza selepas menewaskan anak-anak buahnya 0-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, skuad Helang Merah terpaksa akur beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Rizal Ghazali dilayangkan kad merah pada babak kedua manakala JDT pula meraih dua gol hasil ledakan Leandro Vazquez dan Safawi Rasid.
Kata Aidil, tugas untuk mencuri mata di gelanggang keramat pasukan Harimau Selatan itu semakin sukar selepas kehilangan seorang pemain, namun dalam masa yang sama tidak boleh menyalahkan anak-anak buahnya yang telah memberikan komitmen seratus peratus.
“Kita tahu tidak mudah untuk meraih mata di gelanggang JDT. Malah, pasukan Pahang pun turut tewas kepada mereka di sini. Kita perlu akui mereka adalah pasukan terbaik dalam Liga Super selain dibarisi pemain yang cukup berkualiti.
“Saya harap kami dapat menjadikan kekalahan ini sebagai satu pengajaran. Pada saya, kalah atau menang adalah perkara normal dan paling peting, ia dipikul oleh seluruh pasukan. Saya tidak mahu salahkan mana-mana individu,” katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.
Mengulas lanjut, Aidil juga berharap pasukannya dapat memanfaatkan cuti rehat saingan Liga Malaysia selama hampir tiga minggu supaya bersedia untuk mengharungi jadual lebih padat pada musim depan.
“Saya berdoa agar tiada kecederaan yang serius dan pemain dapat kembali dengan fizikal yang cergas. Selepas ini kami akan bertemu dengan Pahang dalam aksi Liga Super dan saya mahu pasukan melakar keputusan yang positif.
“Selepas itu kita akan fikirkan aksi separuh akhir Piala FA yang cukup penting dan saya mahu semua pemain bersedia seratus peratus,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan