PENYERANG JDT, Safawi Rashid (dua dari kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan Liga Super menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI
KUALA LUMPUR 18 Mei – Biarpun Liga Super masih berbaki lapan perlawanan, namun Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah mula ‘terhidu’ kejuaraan keenam berturut-turut selepas kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC semalam melebarkan jurang kepada 11 mata meninggalkan pencabar rapat, Pahang.
Pengurus Harimau Selatan, Luciano Figueroa enggan pemainnya terlalu selesa dengan kedudukan tersebut, namun dalam masa sama ‘mentaliti juara’ yang ditunjukkan JDT melegakan bekas penyerang kelahiran Argentina itu untuk menghadapi baki saingan.
“Ini kemenangan yang amat penting buat kami, apatah lagi kami beraksi di tempat lawan.
“Kadangkala pemain boleh bermain bagus tetapi ada masanya mereka tidak beraksi dengan baik, namun apa yang menggembirakan saya tentang pasukan ini adalah mentaliti juara yang ditunjukkan. Itulah yang menentukan kedudukan kami,” kata Figueroa.
Figueroa, 37, turut memuji persembahan penyerang kebangsaan, Safawi Rasid yang menggelecek beberapa pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan rembatan ke gawang lawan untuk membuka jaringan JDT pada minit ke-16.
Biarpun Romel Morales berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-30, namun gol Diogo Luis Santo pada minit ke-60 mengesahkan kemenangan Harimau Selatan.
Sementara itu, Safawi, 22, lega kerana akhirnya berjaya meledak gol selepas gagal menembusi gawang lawan dalam lima perlawanan terakhir.
Secara kebetulan, Safawi turut menembusi gawang PKNS ketika kali terakhir menjaringkan gol buat JDT dalam aksi Liga Super pada 20 April lalu.
“Mungkin ia rezeki saya kerana dalam beberapa perlawanan sebelum ini saya tidak berpeluang menjaringkan gol.
“Dalam perlawanan hari ini (semalam) saya nekad untuk cuba menjaringkan gol dan Alhamdulillah akhirnya berjaya,” kata Safawi.
Pahang mampu merapatkan jurang kepada lapan mata sekiranya menewaskan Perak dalam saingan di Kuantan, esok. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan