JDT perkukuh carta teratas Liga Super



PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT), Diogo Luis Santos (dua, kiri) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika menentang Felda United pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super susulan kemenangan 2-0 ke atas FELDA United, malam tadi.
Beraksi di gelanggang lawan Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, JDT membawa pulang tiga mata berharga untuk berdiri megah di kedudukan teratas dengan kelebihan lima mata di atas pencabar terdekat, Pahang.
Ia susulan kekalahan 2-0 yang dialami skuad Tok Gajah di tangan pendatang baharu Liga Super, Petaling Jaya City FC di gelanggang lawan.
Kedua-dua gol kemenangan JDT dijaringkan pemain import dari Brazil, Diogo Luis Santo pada minit ke-38 dan minit ke-61.
Kemenangan menyaksikan JDT yang juga juara bertahan, mengekalkan rekod tanpa kalah mereka sekali gus semakin selesa dalam misi memburu kejuaraan Liga Super kali keenam berturut-turut. - Bernama

Ulasan