JDT MEMANG KEBAL, SEMAKIN SELESA – KOSMO
Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Super selepas berjaya menewaskan Felda United 2-0 dalam saingan yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Benjamin Mora itu dilihat selesa menguasai saingan meskipun pasukan tuan rumah berjaya mengekang beberapa percubaan bahaya yang direncanakan oleh trio serangan Safawi Rasid, Diogo Luis Santo dan Gonzalo Cabrera.
Skuad Harimau Selatan akhirnya berpeluang meraih gol pembukaan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain pertahanannya, Corbin-Ong dijatuhkan kapten Felda United, Thiago Aquino pada minit ke-37.
Diogo dilihat tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakan tendangan tersebut, sekali gus memberi kelebihan 1-0 buat pasukan pelawat di babak pertama.
Bersambung pada babak kedua, Diogo terus menjadi duri dalam daging buat pasukan The Fighters apabila menggandakan jaringan hasil gerakan lincah di kotak penalti pada minit ke-62 yang menyaksikan penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali tertewas buat kali kedua.
The Fighters yang dibimbing oleh Nidzam Jamil berusaha untuk bangkit merapatkan kedudukan, namun keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.
JDT kini gah di persada liga dengan mengutip 30 mata selepas mengharungi 12 perlawanan dan selesa mendahului pencabar terdekat, Pahang dengan lima mata selepas pasukan tangga kedua itu tewas mengejut 0-2 kepada Petaling Jaya City (PJ City) di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.
Sumber : Kosmo Online
Ulasan
Catat Ulasan