SHAH ALAM: Johor Darul Ta'zim (JDT) nyata berada di kelas tersendiri apabila mengekalkan rekod kemenangan bersih sepanjang Mei selepas menewaskan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Kejayaan mengutip tiga mata itu adalah yang keempat sepanjang bulan ini termasuk kejayaan menewaskan juara bertahan Liga Juara-Juara Asia, Kashima Antlers 1-0 pada aksi Kumpulan E, 8 Mei lalu.
Di atas kertas, Harimau Selatan memang sukar untuk ditumbangkan dan kemenangan itu terus mengukuhkan kedudukan mereka di puncak Liga Super dengan 36 mata.
Terdahulu, JDT turun dengan langkah kanan apabila mendahului tuan rumah seawal minit ke-17 menerusi Safawi Rasid yang melakukan gerakan menarik sebelum merembat ke sebelah kanan gawang PKNS.
Bagaimanapun, minit ke-29, kedudukan kembali seimbang selepas tonggak import muda PKNS, Romel Morales tenang melakukan penyudah selepas menerima hantaran rendah daripada K Gurusamy.
Harimau Selatan sepatutnya meraih jaringan kedua sebaliknya tampanan Leandro Velazquez hasil bola muntah tangkapan kurang kemas penjaga gol lawan, Tauffiq Ar Rasyid Johar sekadar serong ke sisi gawang.
JDT kembali ke babak kedua dengan aksi lebih garang, menyaksikan asakan bertalu-talu ketika PKNS lebih menumpukan hantaran jauh kepada Kpah Sherman.
Keghairahan anak buah Benjamin Mora memburu jaringan kedua berhasil dan kali ini giliran Diogo Santo mencipta nama selaku penjaring pada minit ke-60.
Ulasan
Catat Ulasan