PENYERANG JDT II, Darren Lok cuba melepasi halangan pemain tengah PDRM, Argzim Redzovic dalam aksi Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang, hari ini. - Gambar JOHOR SOUTHERN TIGERS
KUALA LUMPUR 3 Mei - Rekod bersih Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam saingan Liga Perdana musim ini akhirnya tercalar jua selepas dikejutkan 0-1 oleh PDRM dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, sebentar tadi.
Ini adalah kekalahan pertama JDT II dalam 11 perlawanan musim ini, namun kedudukan mereka sebagai pendahulu liga tidak tergugat kerana masih utuh di tangga teratas dengan 24 mata.
UiTM FC gagal memanfaatkan kejutan yang dialami JDT II apabila turut mengalami kekalahan 0-1 kepada Terengganu FC II dalam satu lagi saingan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Kekalahan UiTM itu bermakna mereka kekal di tangga kedua liga dengan empat mata di belakang Harimau Selatan.
Dalam aksi di Pasir Gudang, gol tunggal pemain import dari Korea Selatan, Lee Chang-hoon pada minit ke-75 memadai untuk menghadiahkan kemenangan ketiga buat PDRM musim ini, sekali gus melonjakkan mereka ke tangga ketujuh.
Satu lagi saingan Liga Perdana yang berlangsung malam ini menyaksikan UKM terikat 1-1 dengan Pulau Pinang. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan