Langkau ke kandungan utama

JDT gah kuasai puncak liga

JDT terus mengekalkan rekod tanpa kalah pada saingan liga musim

JDT terus mengekalkan rekod tanpa kalah pada saingan liga musim ini selepas menundukkan Felda United 2-0 kelmarin.
KUALALUMPUR - Johor Darul Takzim JDT menjadi pasukan tunggal yang belum tewas dalam saingan Liga Super setakat ini setelah menundukkan Felda United 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka kelmarin.
Kejayaan meraih tiga mata itu membuktikan kehebatan skuad The Southern Tiger sukar digugat untuk terus gah di puncak liga. 
Pengurus JDT, Luciano Figueroa berkata, pasukannya bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum menjaringkan dua gol.
“Felda United bermain secara bertahan dan kami menghadapi sedikit kesukaran untuk membelah benteng pertahanan tuan rumah.
“Kami menguasai perlawanan sejak awal babak pertama dengan mencorak serangan bertali arus ke kubu lawan, namun gagal menjaringkan gol sehingga minit ke-37,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Menurutnya, usaha ber­terusan jentera serangan JDT akhirnya berhasil apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-38 dan Diogo Luis Santo tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol pertama.
“Saya memuji semua pemain yang faham tanggungjawab masing-masing malah mereka sentiasa peka dengan gerakan balas yang dilancarkan oleh tuan rumah,” ujarnya.
Beliau memberitahu, be­rita kekalahan 0-2 Pahang kepada Petaling Jaya City FC amat menggembirakan pasukannya.
“Kami akan terus tampil dengan aksi lebih meyakinkan dalam perlawanan akan datang untuk meneruskan momentum kemenangan agar kedudukan di tangga teratas liga tidak tergugat,” jelasnya.
Pada perlawanan kelmarin, Diogo menjadi hero pasukan JDT apabila meledakkan dua gol pada minit ke-38 dan 62 bagi memastikan Felda United berputih mata di laman sendiri.
The Southern Tiger semakin selesa di puncak Liga Super selepas mengutip 30 mata meninggalkan Pahang di tangga kedua dengan perbezaan lima mata.

Ulasan