JDT BUKAN LAGI JAGUH KAMPUNG – HARUMKAN NAMA BOLA SEPAK NEGARA



JDT BUKAN LAGI JAGUH KAMPUNG – HARUMKAN NAMA BOLA SEPAK NEGARA

JDT Bukan Lagi Jaguh Kampung – Harumkan Nama Bola Sepak Negara

Sewaktu melihat proses undian peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim 2019 yang berlangsung di Ibu Pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Kuala Lumpur penghujung tahun lalu, ramai bersikap pesimis dengan peluang skuad Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ini kerana, secara realistik skuad Harimau Selatan diundi dengan wakil Jepun yang juga juara bertahan, Kashima Antlers, China (Shandong Luneng) dan Korea Selatan (Gyeongnam) yang merupakan heivyweight dan jelas sebagai pilihan untuk me­langkah ke pusingan kalah mati ACL musim ini.
Namun, skuad JDT telah membuka mata banyak pihak yang sebelum ini mendakwa mereka akan berkubur di pertengahan saingan dan sebagai buktinya, mereka masih bernyawa sehingga ke aksi terakhir peringkat Kumpulan E.
Pasukan kendalian Benjamin Mora itu kini mengharapkan keajaiban dalam misi melangkah ke pusingan kalah mati kerana mereka memerlukan tiga mata penuh apabila bertemu dengan Gyeongnam di Stadium Changwon petang ini.
Pada masa sama, JDT juga perlu menagih simpati kepada pendahulu Kumpulan E, Shandong Luneng untuk menewaskan Kashima Antlers pada aksi perlawanan terakhir memandangkan mereka ketika ini hanya dibezakan tiga mata.
Situasi itu berlaku selepas juara Liga Super sebanyak lima kali berturut-turut itu berjaya mengejutkan jaguh Jepun itu di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin dengan kemenangan bersejarah 1-0 pada aksi yang berlangsung 8 Mei lepas.
Jika dilihat secara keseluruhan, rata-rata keputusan yang diraih skuad Harimau Selatan sangat memuaskan kerana jika mereka tewas sekali pun, keputusannya cukup tipis selain mereka berjaya memberikan persaingan seimbang.
Apa sahaja keputusan yang berlaku petang ini, penulis percaya JDT telah mengharumkan nama bola sepak tempatan di pentas Asia sekali lagi pada musim ini selepas mencipta kenangan manis menjuarai Piala AFC pada edisi 2015.
Seandainya keputusan tidak memihak kepada mereka, penulis optimis ia bukan satu kekecewaan kerana mereka akan mudah membolot baki trofi yang akan dipertandingkan pada kancah Liga Malaysia (Liga M) dengan menjuarai Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.
Sumber : Kosmo Online

Ulasan