JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk menyentap ego Kedah apabila menewaskan pasukan itu 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Dengan kemenangan itu, skuad Harimau Selatan kini berada di landasan terbaik untuk mengekalkan kejuaraan liga buat kali keenam berturut-turut selepas mengumpul 39 mata dan kekal dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 15 perlawanan liga.
Pelawat terlebih dulu mengundang cemas di pintu gol tuan rumah pada minit ke-12 namun sepakan lencong Farhan Roslan sedikit tersasar.
Walaupun JDT cuba menyusup masuk dengan gerakan pantas, corak permainan kompak yang dipratikkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tampak menyukarkan barisan serangan anak didik Benjamin Mora untuk mencari ruang melakukan percubaan berbahaya.
Bagaimanapun asakan berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-33 selepas Leandro Velazquez yang tidak dikawal bertindak pantas melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan gol menewaskan penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim.
Pada babak kedua, tuan ruman terus mengasak dan hampir mencipta jaringan pada minit ke-52 namun bola sepakan Diogo Luis Santo melepasi palang gol.
Malang buat Kedah apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Rizal Ghazali dilayangkan kad merah pada minit ke-67 selepas mengutip dua kad kuning kerana mengasari Luis Santo.
Kesempatan itu menyaksikan Safawi Rasid memastikan kemenangan buat skuad Harimau Selatan pada minit ke-86 selepas merembat kencang menewaskan Ifwat.
Ulasan
Catat Ulasan