Langkau ke kandungan utama

Jauh lagi nak rangkul kejuaraan

PEMAIN JDT meraikan jaringan  Akhyar Rashid (tengah) dalam aksi

PEMAIN JDT meraikan jaringan Akhyar Rashid (tengah) dalam aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkim malam tadi. - UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN

JOHOR BAHRU 15 Mei - Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa masih belum mahu mendabik dada apabila pasukan bimbingannya semakin selesa di puncak Liga Super dengan jurang lapan mata setelah menewaskan Tok Gajah 2-0 malam tadi.
Menurut Figueroa, masih terlalu awal untuk skuad Harimau Selatan bersuka ria kerana masih banyak perlawanan genting menanti mereka baik di laman sendiri mahupun di gelanggang lawan.
Katanya, pemainnya sudah menjalankan tugas dengan baik menewaskan pencabar terdekat pada perlawanan malam tadi untuk meletakkan di zon selesa untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak 2014 tanpa gagal.
“Kemenangan menentang Pahang pada malam ini amat manis sekali kerana tiga mata yang diraih membolehkan kami menjarakkan kedudukan dengan perbezaan lapan mata.
“Walaupun kami berada di zon selesa, ia masih terlalu awal untuk kami berpuas hati dan memikirkan soal kejuaraan Liga Super. Perjalanan kami masih jauh dan perlu memberi tumpuan perlawanan demi perlawanan agar tidak tersilap langkah,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Figueroa turut memuji aksi Diogo Luis Santo dan Akhyar Rashid yang memainkan peranan penting dalam memastikan JDT mengutip tiga mata pada perlawanan malam tadi.
“Diogo merupakan aset penting kami, walaupun dia tidak menjaringkan gol tapi dia bijak mengawal bola, membaca perlawanan dan mengkucar-kacirkan pertahanan lawan. Peranan Diogo cukup penting buat kami di atas padang dan dia bijak melaksanakan tugasnya.
“Kemasukan Akhyar di babak kedua bukan sahaja mengubah rentak permainan malah menghadiahkan kemenangan buat JDT. Dia licik melepasi pertahanan lawan untuk mengumpan gol pertama selain bertuah untuk memahat nama dalam senarai penjaring pada minit akhir permainan,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Ulasan