Langkau ke kandungan utama

Harimau Selatan makin selesa

Terus gah mendahului Liga Super hasil kemenangan 2-0 ke atas Felda


Johor Southern Tigers  Diogo menjaringkan dua gol buat JDT ketika

Johor Southern Tigers Diogo menjaringkan dua gol buat JDT ketika menewaskan Felda United 2-0 pada aksi Liga Super di Jengka malam tadi.
PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Super selepas berjaya menewaskan Felda United 2-0 dalam saingan yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Benjamin Mora itu dilihat selesa me­nguasai saingan meskipun pasukan tuan rumah berjaya mengekang beberapa percubaan bahaya yang direncanakan oleh trio serangan Safawi Rasid, Diogo Luis Santo dan Gonzalo Cabrera.

Skuad Harimau Selatan akhirnya berpeluang me­raih gol pembukaan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain pertahanannya, Corbin-Ong dijatuhkan kapten Felda United, Thiago Aquino pada minit ke-37.
Diogo dilihat tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakan tendangan tersebut, sekali gus memberi kelebihan 1-0 buat pasukan pelawat di babak pertama.
Bersambung pada babak kedua, Diogo terus menjadi duri dalam daging buat pasukan The Fighters apabila menggandakan jaringan hasil gerakan lincah di kotak penalti pada minit ke-62 yang menyaksikan penjaga gol tuan rumah, Nor­azlan Razali tertewas buat kali kedua.
The Fighters yang dibimbing oleh Nidzam Jamil berusaha untuk bangkit merapatkan kedudukan, namun keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.
JDT kini gah di persada liga dengan me­ngutip 30 mata selepas mengharungi 12 perlawanan dan selesa mendahului pencabar terdekat, Pahang dengan lima mata selepas pasukan tangga ke­dua itu tewas mengejut 0-2 kepada Petaling Jaya City (PJ City) di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.

Ulasan