JOHOR BAHRU: Tiada apa mampu diungkap pengurus Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa selain terima kasih buat setiap pemain yang mengotakan janji membenam Kedah 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Malah Figueroa teruja dengan kualiti permainan skuad Harimau Selatan sambil menyifatkan ia permainan terbaik pasukan itu selepas menguasai keseluruhan perlawanan tanpa memberi ruang kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak melakukan percubaan berbahaya.
Beliau berkata, pertembungan menentang skuad Lang Merah jelas begitu sukar tetapi pemain JDT bagaikan mengetepikan kesukaran itu dengan kerap bergerak secara berpasukan dan menguasai posisi tengah menyebabkan pemain lawan seolah-olah hilang arah.
"Kita tahu Kedah pasukan bagus dan mereka dibarisi pemain hebat namun taktikal kami bentuk untuk berdepan aksi sukar berjaya dan pemain melakukan tugas baik malah segala usaha membuahkan hasil apabila meraih tiga mata.
"Tidak dinafikan kami memiliki banyak peluang menjaringkan gol tetapi sering dikecewakan sama ada tersasar atau diselamatkan penjaga gol. Tapi mereka terus berusaha dan hasilnya kemenangan menjelma dan ia ibarat pulangan lumayan.
"Faktor kepenatan juga menjejaskan sedikit rentak permainan tatkala kami baru pulang dari Korea selepas mengharungi perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan hanya ada tempoh tiga hari untuk buat persiapan namun semangat kental pemain mengatasi segalanya," katanya.
Mengulas persembahan Diogo Luis Santo yang tampak kerap memberi sumbangan dibarisan serangan, Figueroa menjelaskan peranan pemain itu tidak semestinya menjaringkan gol sebaliknya menjadi `pengacau' di posisi berkenaan dan membuka ruang buat rakan sepasukan melakukan percubaan berbahaya.
Malah katanya, kelibat S Kunanlan pada awal musim hanya sekadar memanaskan bangku simpanan namun sudah menunjukkan kredibiliti sebenar dengan aksi terbaik sepanjang saingan liga dan ACL.
"Saya juga bangga dengan komitmen Mauricio (Nascimento), walaupun mengalami kecederaan ketika menentang Gyeongnam FC namun dalam tempoh tiga hari dia bersungguh-sungguh untuk pulih dan tetap mahu diturunkan tanpa menghiraukan kecederaan.
"Saya akan beri rehat selama lima hari kepada pemain dan kemudian mereka akan kembali menjalani latihan bagi meneruskan kesinambungan memburu kemenangan dalam setiap perlawanan kerana kita sudah berada di landasan dan tidak boleh tergelincir," kata Figueroa.
Ulasan
Catat Ulasan