PENYERANG Sensasi JDT Diogo (tengah) menjaringkan dua gol untuk membantu JDT menewaskan Felda United 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka- UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR 5 Mei - Pengurus pasukan Johor Darul Ta’azim (JDT), Luciano Figueroa gembira dengan kemenangan pasukannya ke atas Felda United di Stadium Tunku Abdul Rahman, Jengka, semalam.
Meskipun pasukan lawan menerapkan taktikal bertahan namun barisan serangan skuad Harimau Selatan tetap berjaya menjaringkan dua gol menerusi penyerang import dari Brazil, Diogo Luis Santo pada minit ke-38 menerusi sepakan penalti sebelum menambah jaringan pada minit ke-62.
“Untuk saya ianya satu perlawanan yang baik untuk kami. Kami mengawal permainan, kami menyerang sepanjang perlawanan. Ianya sukar kerana mereka bermain dengan cara bertahan dengan 11 pemain di dalam kawasan sendiri.
“Ia memaksa kami untuk melakukan serangan berterusan ke kubu lawan dan saya gembira dengan keputusan ini,” kata Figueroa selepas perlawanan.
Tambah Figueroa, berkata kemenangan semalam juga mengukuhkan kedudukan JDT di puncak Liga Super, terutama selepas pencabar terdekat mereka, Pahang, tewas mengejut 0-2 kepada pendatang baru liga, Petaling Jaya (PJ) City.
“Dengan kemenangan ini, kami mendahului dengan lima mata di depan dan sudah tentu ia menjadi motivasi kepada kami untuk terus fokus dan mengekalkan kedudukan di tangga teratas liga,” katanya.
Sementara itu, pengendali Felda United, Mohd Nidzam Jamil, mengakui rentak permainan anak buahnya berubah selepas JDT memperoleh jaringan pertama.
“Apabila kami bermain dengan kelab yang besar seperti JDT, kami tidak boleh melakukan kesilapan mudah sehingga dihukum dengan jaringan dan memulakan permainan dengan keputusan 0-0 adalah berbeza berbanding jika kami ketinggalan.
“Kami cuba untuk menukar taktik dengan beraksi lebih terbuka tetapi tidak boleh keterlaluan kerana hasilnya kami telah dihukum dengan gol kedua JDT,” jelasnya.
JDT selepas ini akan menerima kunjungan kelab Jepun, Kashima Antlers dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia sebelum sekali lagi berdepan pesaing terdekat mereka, Pahang, dalam aksi Liga Super pada 14 Mei nanti. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan