FELDA UNITED PULA MAHU BERI TEKANAN DAN SEKAT JDT



FELDA UNITED PULA MAHU BERI TEKANAN DAN SEKAT JDT


Felda United Pula Mahu Beri Tekanan Dan Sekat JDT

Perlawanan Liga Super ke 12 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Felda United akan berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada malam esok, 04 Mei 2019
Felda United sedia memberi tekanan kepada pendahulu Liga Super, JDT.
Pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, walaupun pasukan Harimau Selatan dilabel sebagai pasukan terbaik negara, ia bukan bermakna FELDA United tidak mampu memberi saingan kepada mereka.
“Memang kita tahu rekod dan kemampuan JDT, kita tengok ketika aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Pahang tempoh hari, mereka (JDT) dapat menyerap tekanan walaupun beraksi dengan 10 pemain.
“Ini adalah cabaran kepada kami dan saya tidak nampak kita ada kekurangan dari segi kualiti pemain dibandingkan pasukan mereka.
“Semuanya bergantung kepada mentaliti pemain, kalau mereka ingin menang dan meletakkan dalam fikiran untuk merekodkan kemenangan, sudah pasti kita dapat mengejutkan mereka,” katanya.
“Walaupun pasukan mereka (JDT) mempunyai pemain tempatan dan import yang hebat, ia bukan bermakna skuad Harimau Selatan tidak ada sebarang kelemahan.
“Perkara inilah yang saya sering maklumkan kepada pemain dan perubahan taktikal dilakukan saat akhir juga boleh membantu kita menjinakkan mereka, apatah lagi kita memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kesebelasan utama The Fighters untuk perlawanan itu, Mohd Nidzam mengesahkan perancang tengah berpengalaman, Christie Jayaseelan tidak dapat diturunkan kerana masih mengalami kecederaan.
Namun, ketiadaaan Christie boleh diisi pemain lain dan berharap semua pemain yang dipilih untuk perlawanan itu mempamerkan aksi terbaik mereka bagi memastikan tiga mata milik FELDA United.
Sumber : Berita Harian

Ulasan