FARIZAL DIGANTUNG 5 PERLAWANAN, PBNJ DIDENDA RM25,000


FARIZAL DIGANTUNG 5 PERLAWANAN, PBNJ DIDENDA RM25,000

Farizal Digantung 5 Perlawanan, PBNJ Didenda RM25,000

Penjaga gawang Selangor, Mohd. Farizal Harun dikenakan penggantungan lima perlawanan selain denda RM5,000 selepas didapati bersalah menumbuk muka pemain PKNP aksi Liga Super, 18 Mei lalu.
Dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung itu, Mohd. Farizal bertindak ganas dengan menumbuk muka Mohamad Al-Fateh Afandi dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung dan ia melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).
“Lima perlawanan yang terlibat bagi penggantungan itu termasuk menentang Kuala Lumpur pada 15 Jun ini, Johor Darul Ta’zim (19 Jun), Pahang (25 Jun), Felda United dan Perak,” kata FAM dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain insiden itu, Mohd. Farizal turut terlibat dengan insiden mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penyokong Red Giants ketika pasukan itu tewas 0-1 kepada Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu pada 24 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, Mohd. Farizal sudah mengemukakan permohonan maaf kepada semua penyokong pasukan itu selain bersedia menerima sebarang bentuk hukuman.
Sementara itu, dua lagi pemain iaitu Igor Zongic dari pasukan Terengganu FC dikenakan penggantungan tiga perlawanan manakala pemain UiTM FC, Zarko Korac digantung satu perlawanan kerana berkelakuan ganas semasa perlawanan Liga Super.
Zongic didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana menyerang dan memukul dibahagian belakang badan pemain lawan semasa aksi menentang PKNP di Majlis Perbandaran Manjung pada 4 Mei lalu selain dikenakan denda sebanyak RM5,000.
“Korac didapati melanggar Artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM kerana menyiku muka pemain pasukan lawan semasa aksi Liga Perdana menentang UKM FC di Stadium Kuala Lumpur pada 27 April lalu,” kata kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dikenakan denda sebanyak RM25,000 kerana penyokong pasukan JDT bertindak membakar mercun roket semasa serta sebelum perlawanan menentang Pahang pada 14 Mei lalu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Ulasan