Baru-baru ini, pengurus pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa meluahkan rasa tidak puas hati beliau terhadap sikap pengadil utama ketika perlawanan Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Makmur.
Beliau mendakwa pengadil yang mengadili perlawanan tersebut disifatkan tidak mengamalkan nilai hormat dengan berkata sesuatu kepada pemain import mereka, Mauricio Dos Santos.
“Saya juga mahu bercakap mengenai isu hormat kerana pengadil telah berkata sesuatu kepada pemain luar negara kami, “pergi balik ke negara anda, kami tidak perlukan pemain luar negara seperti anda di sini,” katanya dalam laman facebook rasmi JOHOR Southern Tigers.
Mengulas mengenai isu tersebut, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya telah menerima aduan rasmi daripada wakil JDT dan akan minta penjelasan daripada pengadil tersebut, Mohd Zohri Tajuddin sebelum membuat sebarang tindakan.
Katanya bahagian undang-undang dan jawatankuasa pengadil FAM akan menentukan sebarang bentuk tindakan yang akan diambil setelah mendapat keterangan daripada kedua-dua pihak.
“Kami ada terima aduan rasmi daripada pasukan JDT berkaitan insiden baru-baru ini, namun adalah lebih adil jika kami mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Dalam perlawanan itu, pemain pertahanan mereka, Mauricio diperintahkan keluar padang setelah dilayangkan kad merah kerana mengasari penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme.
Malah, Figueroa turut tidak berpuas hati dengan prestasi pengadil garisan apabila jaringan Safawi Rasid tidak disahkan walaupun kedudukan bola kelihatan seperti telah melintasi garisan gol, namun gagal dikesan oleh pengadil.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bagaimanapun mahu setiap pasukan mengikut saluran yang sudah disediakan bagi meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing.
Ulasan
Catat Ulasan