Langkau ke kandungan utama

Cabaran Harimau Selatan pada saingan ACL berakhir

Johor Southern Tigers  PENYERANG JDT, Diogo Luis Santo (tengah)

Johor Southern Tigers PENYERANG JDT, Diogo Luis Santo (tengah) cuba melepasi kepungan pemain Gyeongnam pada aksi terakhir Kumpulan E ACL di Korea Selatan malam tadi.
HARAPAN skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini tidak kesampaian selepas tewas pada aksi terakhir Kumpulan E dengan keputusan 0-2 kepada Gyeongnam FC di Korea Selatan malam tadi.
Keputusan itu meletakkan status Harimau Selatan kekal di tangga tercorot peringkat Kumpulan E yang menyaksikan dua pasukan pilihan, Shandong Luneng layak selaku juara kumpulan diikuti jaguh Jepun, Kashima Antlers.
Hasrat Gyeongnam untuk mara juga tidak kesampaian selepas Kashima Antlers me­raih kemenangan dramatik apabila bangkit daripada ke­tinggalan sebelum menjinakkan Shandong dengan keputusan 2-1 di laman sendiri.
Bagaimanapun, prestasi skuad kendalian Benjamin Mora dalam kancah ACL buat pertama kali wajar dipuji susulan berjaya memberi kesukaran buat Gyeongnam sepanjang 90 minit perlawanan.
Wakil Korea Selatan itu bernasib baik meraih kemenangan hasil jaringan penyerang import, Luc Castaignos pada minit ke-64 sebelum Takahiro Kunimoto mengesahkan keputusan tersebut dengan gol kedua pada masa kecederaan.
JDT turut berjaya memperoleh peluang untuk menjaringkan gol menerusi duo serangan berbisa, Syafiq Ahmad dan Gonzalo Cabrera tetapi percubaan mereka pada babak pertama tidak membuahkan hasil yang diharapkan.
Skuad Harimau Selatan kini terpaksa melupakan saingan di pentas Asia untuk memberi tumpuan aksi penting Liga Super menentang Kedah di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada Ahad ini.

Ulasan