Barcelona jemput TMJ sertai aksi amal



KELAB paling berjaya di dunia Barcelona 'mengimport' Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi menyertai perlawanan amal bersama juara lima kali Eropah itu di Nou Camp pada 21 Mei ini.
Jemputan untuk pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu disampaikan oleh tonggak pertahanan Barcelona, Gerard Pique yang dijangka menjadi rakan sepasukan dengan Tunku Ismail.
"Pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique menjemput Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan wakil dari pasukan JDT untuk menyertai perlawanan amal bersama pemain Barcelona dan 'sahabat dan keluarga' Barcelona di Nou Camp pada 21 Mei 2019," kata kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.
Hubungan rapat Tunku Ismail dengan Pique bukan lagi rahsia apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu pernah menerima undangan ke rumah Pique dan isterinya, Shakira di Sepanyol pada tahun lalu.Tunku Ismail turut ditemani isterinya, Che' Puan Khaleeda Bustamam.
Malah, Tunku Ismail turut menerima jemputan khas untuk menyaksikan sesi latihan pasukan utama Barcelona di pusat latihan Camp Tito Vilanova.
Beliau juga berkesempatan bertemu dan beramah mesra dengan pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali, Lionel Messi dan penyerang sensasi Uruguay, Luis Suarez.

Ulasan