Apa Yang Boleh Kita Pelajari Daripada JDT Pada Penampilan Sulung Di AFC Champions League?


Menang atau kalah mungkin tidak membawa apa-apa makna buat JDT selepas tamat 90 minit perlawanan menentang wakil Korea Selatan, Gyeongnam FC semalam. Impian mereka untuk mara ke pusingan seterusnya – melangkaui saingan peringkat kumpulan – tetap terkubur. Tetapi bola sepak jauh lebih dari sekadar keputusan. Berbekalkan satu kemenangan, dan satu seri sebelum kunjungan ke Changwon Football Center, JDT mahu optimis.
Tetapi sikap optimis itu tidak menjadi kenyataan. Andai keputusan di Larkin seperti ketika menumbangkan juara bertahan, Kashima Antlers sebelum ini turut berulang, skripnya tetap sama. Juara bertahan itu mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya dengan menewaskan Shandong Luneng 2-1 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E.
Sumber: JST
Tidak ada siapa boleh menyalahkan JDT untuk impian yang mereka tanam. Tetapi pada masa yang sama, tidak ada siapa pun layak mempersoalkan sikap optimis milik mereka, setelah dua pasukan terbaik Kumpulan E pertandingan elit kelab bola sepak Asia (AFC Champions League) hanya boleh ditentukan pada hari terakhir saingan peringkat kumpulan.

Enam perlawanan dilalui oleh wakil tunggal negara di AFC Champions League (ACL). Setidak-tidaknya, ada banyak perkara yang boleh kita pelajari dan jadikan iktibar dari penampilan sulung wakil negara di pentas saingan tertinggi kelab bola sepak Asia ini.

Bukti anak Malaysia mampu bersaing

Mari kita jujur dengan diri kita. Pasti tidak ada siapa yang berani memberikan sebarang harapan kepada JDT untuk menyerlah di pertandingan ACL 2019. Namun beberapa persembahan meyakinkan walaupun tewas membuktikan anak Malaysia mampu bersaing di peringkat tertinggi.
Corbin Ong beraksi penuh di dalam semua enam perlawanan. Nazmi Faiz dan Syafiq Ahmad turut tampil dalam enam perlawanan, dua daripadanya sebagai pemain gantian. S. Kunanlan, Safawi Rasid dan Afiq Fazail pula melakukan penampilan di dalam lima perlawanan.
Sumber: JST
Aidil Zafuan pula tampil dalam empat perlawanan, tatkala Akhyar Rashid, Adam Nor Azlin, Syamer Kutty, Azrif Nasrulhaq, Farizal Marlias dan Izham Tarmizi turut mendapat minit diperlukan untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
Hasilnya tidak mengecewakan. Jaringan Syafiq Ahmad ketika membenam Kashima Antlers, dan jaringan Safawi Rasid ketika tewas 2-1 kepada Shandong Luneng mungkin adalah perkara yang paling diingati dari penampilan sulung ini.

Aspek pembangunan pemain

Peningkatan prestasi beberapa pemain di dalam skuad JDT pada musim ini wajar diberikan pujian. Tidak dapat dinafikan Safawi Rashid telah membuktikan diri beliau sebagai antara pemain terbaik yang dimiliki negara pada ketika ini. Namun ini tidak bermakna rakan sepasukan beliau yang lain hanya mahu berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan pencapaian masing-masing.

Syafiq Ahmad dan Adam Nor Azlin misalnya adalah antara pemain muda yang menonjol dengan tahap permainan yang lebih matang. Begitu juga dengan ketenangan Nazmi Faiz, dan Afiq Fazail yang menunjukkan ketenangan ketika menjana jentera tengah.
Sumber: AFC Champions League
Selain daripada Afiq Fazail, pemerhati dan peminat bola sepak tempatan mungkin akan tampil mempersoalkan bahawa pemain-pemain ini bukan dikilangkan di JDT. Tetapi kita harus akui bahawa pemain-pemain ini belum boleh dikategorikan sebagai ‘artikel lengkap’ ketika dibawa masuk menyertai skuad Harimau Selatan ini.
Ini hanya membuktikan bahawa aspek pembangunan pemain harus dititikberatkan dengan sistem yang betul agar pemain-pemain berbakat ini mampu memenuhi potensi masing-masing. Kita boleh simpulkan JDT telah berjaya mewujudkan persekitaran, struktur, sistem dan organisasi yang membenarkan pemain-pemain muda mengembangkan potensi masing-masing – sesuatu yang kita mahu lihat pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia juga miliki.

JDT sebagai penanda aras

JDT telah konsisten beraksi di pentas Asia sejak beberapa musim yang lalu. Penampilan pertama di ACL 2019 kali ini juga telah membuka lembaran baru untuk JDT dan juga bola sepak negara secara amnya. Namun ini tidak akan mempunyai sebarang makna sekiranya pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia yang lain tidak berminat dan enggan menanam impian untuk beraksi di pentas aingan tertinggi Asia ini.
Dominasi JDT di saingan Liga Malaysia semakin ketara sejak lima tahun yang lalu. Sedikit sebanyak, dominasi ini menunjukkan perbezaan kualiti yang dimiliki oleh JDT berbanding pasukan-pasukan lain di saingan Liga Malaysia.

Musim ini juga tiada bezanya. Bukan untuk menidakkan pasukan-pasukan lain. Apa yang cuba disampaikan di sini ialah mengenai konsistensi untuk terus mencabar sebagai pasukan utama bukan perkara yang mudah.
Anda mungkin berkata JDT memiliki segala kelebihan dengan aset dan fasiliti yang dimiliki oleh kelab tersebut. Wang mungkin boleh membeli kejayaan, tetapi ia tidak boleh menjamin kejayaan. Lebih tepat, anda tidak perlu untuk menjadi JDT untuk berada di tahap tertentu. Apa kata pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia bermula dengan memiliki mentaliti yang betul untuk berjaya, diikuti struktur dan organisasi yang bersesuaian untuk membenarkan pemain-pemain sedia ada memenuhi potensi masing-masing?
Abaikan semua perkara di atas, maka jurang diantara JDT dan pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia akan menjadi semakin luas.

Penutup

Tiga perkara tersebut mungkin merupakan ‘pendapat tidak popular’ sekiranya anda bukan seorang penyokong JDT. Namun ia adalah hakikat jelas yang terjadi di dalam konteks saingan domestik di dalam negara pada ketika ini.
Harapan kita sudah pasti agar satu hari nanti, Liga Malaysia akan diberikan lebih banyak slot ke pertandingan ACL. Siapa tahu, pasukan dari Liga Malaysia juga akan muncul juara ACL di masa hadapan. Tetapi sebelum tu, masih banyak kerja harus kita lakukan bersama.

Ulasan