ANUAR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR 6 Mei - Selepas menderita kanser hati tahap empat, legenda bola sepak Selangor, Anuar Abu Bakar akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada satu Ramadan, hari ini.
Anuar yang pernah beraksi buat skuad kebangsaan di antara tahun 1993 hingga 1997, meninggal dunia di Hospital Shah Alam (HSA), 9 malam tadi.
Perkara tersebut disahkan laman rasmi Facebook Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Difahamkan, jenazah allahyarham akan dimandikan pagi esok dan solat jenazah akan diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 9.30 pagi.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, sejurus selesai disembahyangkan.
Allahyarham, 48, yang beraksi di posisi tengah dan menyerang ketika zaman kegemilangannya pernah mengecapi pelbagai kejayaan bersama Selangor.
Selain pernah bergelar legenda Selangor dan Johor, Anuar sebelum ini juga adalah ketua jurulatih skuad Piala Presiden UiTM FC.
Sebelum ini pelbagai pihak pernah mengadakan perlawanan amal untuk mengutip dana bagi membantu kos rawatan Anuar. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan