Akhyar teruja bantu JDT menang



Pemain JDT, Mohd Akhyar Rashid (kiri) meraikan jaringannya selepas menjaringkan gol kedua ketika bertemu Pahang pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
JOHOR BAHRU: Kelibat Akhyar Rashid yang masuk pada pertengahan babak kedua mengubah skrip perlawanan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Pahang selepas pemain itu menjadi watak penting kemenangan buat juara Liga Super lima musim berturut-turut pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Akhyar yang di bawa masuk bagi menggantikan Leandro Velazquez pada pertengahan babak kedua bagaikan menyelamat maruah skuad Harimau Selatan tatkala aksi tampak berkesudahan dengan keputusan seri 0-0 apabila kedua-dua pasukan seolah-olah hilang kreativiti untuk mencipta jaringan.
Bermula dengan larian pantas di posisi sayap kanan pada minit ke-69, dia yang menerima umpanan bola daripada kapten Hariss Harun bertindak menggelecek Mohd Faisal Mohd Rosli sebelum melorongkan semula Hariss yang kemudian merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Helmi Eliza Elias.
Akhyar yang menjadi pencetus gol pertama melengkapkan malam bergaya JDT apabila muncul penjaring gol pada perlawanan itu selepas kegagalan Helmi Eliza mengeluarkan bola dari kawasan bahaya menyaksikan pemain muda JDT itu bingkas merembat bola mengelirukan untuk memastikan kemenangan buat skuad Harimau Selatan pada minit akhir perlawanan.
"Tentunya saya gembira kerana membantu JDT menang dalam perlawanan yang saya anggap begitu mencabar tatkala menentang Pahang yang dibarisi pemain berkualiti namun kami ketepikan semua itu dan hasilnya tiga mata milik kami.
"Gol yang digerakkan oleh saya bermula dengan bola lontaran Farizal (Marlias) kepada Hariss dan saya mula bergerak di posisi sayap kanan dan apabila menerima bola umpanan Hariss dan selepas melepasi pertahanan Pahang saya hanya sekilas pandang dan melihat baju merah biru dan terus mengumpan bola.
"Gol yang kedua yang saya sendiri jaringkan memang tidak menjangka apabila bola `rebound', tanpa berlengah saya bertindak pantas untuk menyepak bola. Malah bola sepakan itu begitu `lembut' dan tidak jangka boleh masuk. Mungkin rezeki saya pada malam ini (malam tadi)," katanya.
Mengulas mengenai status pemain simpanan dan jarang mendapat minit perlawanan, Akhyar menganggap itu bukan alasan sebaliknya peluang beraksi digunakan sepenuhnya untuk membantu JDT dan langsung tidak memikirkan untuk bersikap individu.
Katanya, tidak kira sama ada berada di bangku simpanan atau turun selaku kesebelasan utama, dia harus bersiap sedia dan perlu fokus untuk memberi persembahan terbaik tanpa menganggap dirinya sekadar pemain kedua.
"Saya sendiri tidak sabar diturunkan dan berharap dapat beraksi menentang Pahang dan apabila diarah masuk pada babak kedua maka saya beri yang terbaik dan bersyukur kerana membantu JDT meraih kemenangan," kata Akhyar.

Ulasan