AKHYAR GEMBIRA DAPAT BANTU JDT TEWASKAN TOK GAJAH



AKHYAR GEMBIRA DAPAT BANTU JDT TEWASKAN TOK GAJAH

Akhyar Gembira Dapat Bantu JDT Tewaskan Tok Gajah

Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) buntu menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Pahang semalam sehinggalah kemasukan Akhyar pada minit ke 65 perlawanan. Beliau masuk menggantikan Leandro Velazquez dan menjadi watak penting kemenangan buat juara Liga Super lima musim berturut-turut pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Akhyar bagaikan penyelamat maruah skuad Harimau Selatan tatkala aksi tampak berkesudahan dengan keputusan seri 0-0 apabila kedua-dua pasukan seolah-olah hilang kreativiti untuk mencipta jaringan.
Empat minit selepas dibawa masuk, Akhyar bermula dengan larian pantas di posisi sayap kanan pada minit ke-69, selepas menerima umpanan bola daripada kapten Hariss Harun bertindak menggelecek Mohd Faisal Mohd Rosli sebelum melorongkan semula kepada Hariss yang kemudian merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Helmi Eliza Elias.
Akhyar yang menjadi pencetus gol pertama melengkapkan malam bergaya JDT apabila muncul sebagai penjaring gol pada perlawanan itu selepas kegagalan Helmi Eliza mengeluarkan bola dari kawasan bahaya menyaksikan pemain muda JDT itu bingkas merembat bola mengelirukan untuk memastikan kemenangan buat skuad Harimau Selatan pada minit akhir perlawanan.
Berikut adalah kata-kata dari Akhyar Rashid melalui petikan laporan dari akhbar Berita Harian.

“Tentunya saya gembira kerana membantu JDT menang dalam perlawanan yang saya anggap begitu mencabar tatkala menentang Pahang yang dibarisi pemain berkualiti namun kami ketepikan semua itu dan hasilnya tiga mata milik kami.
“Gol yang digerakkan oleh saya bermula dengan bola lontaran Farizal (Marlias) kepada Hariss dan saya mula bergerak di posisi sayap kanan dan apabila menerima bola umpanan Hariss dan selepas melepasi pertahanan Pahang saya hanya sekilas pandang dan melihat baju merah biru dan terus mengumpan bola.
“Gol yang kedua yang saya sendiri jaringkan memang tidak menjangka apabila bola `rebound’, tanpa berlengah saya bertindak pantas untuk menyepak bola. Malah bola sepakan itu begitu `lembut’ dan tidak jangka boleh masuk. Mungkin rezeki saya pada malam ini (malam tadi),” katanya.
Mengulas mengenai status pemain simpanan dan jarang mendapat minit perlawanan, 
Akhyar menganggap status pemain simpanan dan jarang mendapat minit perlawanan bukan alasan sebaliknya peluang beraksi digunakan sepenuhnya untuk membantu JDT dan langsung tidak memikirkan untuk bersikap individu.

“Tidak kira sama ada berada di bangku simpanan atau turun selaku kesebelasan utama, saya harus bersiap sedia dan perlu fokus untuk memberi persembahan terbaik tanpa menganggap dirinya sekadar pemain kedua.”
“Saya sendiri tidak sabar diturunkan dan berharap dapat beraksi menentang Pahang dan apabila diarah masuk pada babak kedua maka saya beri yang terbaik dan bersyukur kerana membantu JDT meraih kemenangan,” kata Akhyar.
Sumber : Berita Harian
Foto : The Photoshooterz

Ulasan