SAHAM pemain yang mempunyai tag pelepasan bernilai RM12 juta bersama Johor Darul Takzim (JDT), Muhammad Akhyar Abdul Rashid terus melonjak apabila kelab dari Belarus, BATE Borisov berminat untuk menguji penyerang berkenaan dalam masa terdekat.
Pencari bakat kelab tersebut tertarik dengan aksi Akhyar selepas menonton rakaman video yang melibatkan beberapa perlawanan di peringkat antarabangsa dan Liga Malaysia.
Menurut kenyataan daripada laman Facebook Football Agent–Malaysia semalam, pihaknya akan menghubungi wakil daripada JDT dan Akhyar sendiri untuk berbincang mengenai tawaran daripada kelab tersebut.
Abang kepada Akhyar, Mohd. Rafdi Abdul Rashid mengesahkan berita tersebut dan berharap Akhyar mampu melebarkan sayap di luar negara.
“Selepas mendapat berita berkenaan, saya dan keluarga sememangnya menyokong untuk Akhyar pergi mengembangkan bakat di luar negara kerana itu sememangnya harapan kami.
“Saya melihat ia adalah peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan Akhyar kerana perkara sebegini kebiasaannya akan datang sekali sahaja seumur hidup.
“Pada usianya yang baru 20 tahun, saya merasakan ia adalah waktu terbaik buat Akhyar ke sana (BATE Borisov) sebelum menjadi pemain yang lebih baik seperti kebiasaan pemain profesional lain apabila mencapai usia 25 ke 26 tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada masa sama, Rafdi memberitahu, beliau menyerahkan segala urusan berkenaan kepada JDT terhadap masa depan Akhyar.
“Segalanya saya serahkan kepada JDT dan saya percaya mereka akan membuat keputusan yang terbaik untuk karier Akhyar,” jelasnya.
Pada musim 2018, BATE Borisov muncul juara liga divisyen utama Belarus untuk kali ke-13 berturut-turut dan pernah beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara, sementara musim ini mereka berada dalam Kumpulan L dalam Liga Europa bersama Chelsea, PAOK FC dan MOL Vidi.
Ulasan
Catat Ulasan