Variasi skil gusarkan lawan


AYAM tambatan Pahang, Mohamadou Sumareh sedia memperagakan aksi berbeza apabila berdepan aksi getir menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Menyedari pergerakannya mudah dibaca pertahanan lawan, tonggak naturalisasi pertama skuad Harimau Malaya itu membayangkan akan turun dengan sisi berbeza sekali gus membantu skuad Tok Gajah meraih tiga mata penuh di halaman sendiri.
Katanya, dia kini masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan corak permainannya apabila melakukan beberapa perubahan baharu pada musim ini untuk memastikan pihak lawan lebih sukar membaca gerakannya atas padang.
“Saya boleh buat yang lebih baik pada musim ini jika dibandingkan tahun lalu kerana setiap musim, saya percaya pihak lawan makin memahami corak permainan saya.
“Untuk itu, saya tidak boleh selesa dengan teknik sama saja dan perlu membuat beberapa perubahan teknik yang lebih baik agar mereka tidak mudah menyaingi saya di atas padang,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Anak buah Dollah Salleh ketika ini mengikuti rapat JDT di belakang dengan kedudukan kedua liga selepas mengumpul 24 mata, manakala skuad Harimau Selatan gah di atas dengan 26 mata.
Pada musim lalu, Pahang turut cemerlang ketika awal musim Liga Super sebelum kehilangan momentum pada pertengahan musim sekali gus menamatkan aksi di kedudukan keempat.
“Pahang tidak lagi sama seperti musim lalu kerana tahun ini kami lebih bersedia untuk harungi saingan hingga ke penghujung musim.
“Tetapi tahun ini lebih berbeza kerana pemain muda lain makin matang dan pilihan lebih ramai untuk masing-masing bersedia menggantikan mana-mana pemain jika terdapat kecederaan atau sebagainya”, katanya.

Ulasan