Tidak mahu JDT ‘berpesta’ awal punca Pahang bermain lebih baik

Tidak mahu JDT ‘berpesta’ awal punca Pahang bermain lebih baik


Tidak mahu membiarkan Johor Darul Takzim (JDT) berpesta lebih awal antara faktor mengapa Pahang bermain lebih baik selepas ketinggalan kepada PKNS FC, sehingga berjaya menjaringkan dua gol dan memenangi perlawanan dengan keputusan 2-1 pada Ahad.
“Impian kami untuk terus mengejar dan memberikan tekanan kepada JDT akan semakin tipis jika kalah atau seri, kerana lima mata bukan satu jurang yang kecil.
“Ia hanya akan memberi lebih keyakinan kepada JDT apabila melihat pencabar semakin ketinggalan, dan kemudiannya seperti tahun-tahun yang sudah, semua pasukan lain akan berebut tempat naib juara atau tiga teratas, takkan kita mahu saingan mencapai penyudah anti klimaks hanya selepas sembilan perlawanan?
“Muncul juara atau tidak, ini bukan masa untuk bercakap mengenainya tetapi yang penting kita perlu kekal sebagai pencabar sehingga hujung musim, jadi itu yang mendorong kami untuk bermain lebih baik terutama di separuh masa kedua, kami mahu menang dengan apa cara sekalipun,” kata Dickson Nwakaeme yang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-24.
Aksi di Stadium Shah Alam itu menyaksikan PKNS FC bimbingan Datuk K.Rajagobal terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-13 menerusi sentuhan penyerang dari Kemboja, Chan Vathanaka yang menyempurnakan hantaran Kpah Sherman.
Setelah Dickson menjadikan kedudukan terikat 1-1 di separuh masa pertama, babak kedua menyaksikan penguasaan Pahang yang mencipta beberapa peluang jaringan.
Gol kedua tok gajah hadir pada minit ke-74 menerusi Ze Love yang memanfaatkan kekalutan di depan pintu gol PKNS dengan menolak masuk dari jarak dekat menewaskan Zarif Irfan.
Kemenangan menyaksikan Pahang mengutip 21 mata dari sembilan perlawanan, dua mata di belakang JDT.

Foto : Pahang FA

Ulasan