Tiada Lagi Ejekan ‘Planet Pluto’, Jaringan Safawi Antara 5 Gol Tercantik Minggu 7 MSL 2019


Minggu ke-7 Liga Super Malaysia (MSL) telah pun berlangsung. Tiga perlawanan diadakan pada Jumaat, tiga lagi berlangsung pada Sabtu – melengkapkan enam perlawanan pada minggu ini.
12 gol telah dihasilkan sepanjang hujung minggu lalu daripada enam venue perlawanan. Tidak terkecuali, beberapa jaringan cantik turut dihasilkan, dan lima daripada jaringan tersebut kami senaraikan sebagai gol tercantik untuk minggu ini.
Pemilihan kami adalah gol yang bersih dan bukan ‘fluke’. Contohnya terbias di kaki pemain lain ataupun kerana kesilapan penjaga gol yang melepaskan bola. Ianya juga mengambil kira bagaimana gol tersebut dihasilkan secara teknikal.

5. Fernando Rodriguez vs JDT


Ketinggalan satu gol di tempat sendiri seawal minit ke-10 perlawanan, bukanlah permulaan yang Kedah inginkan dalam perlawanan yang dianggap tumpuan dan panas menentang JDT.
Tandukan Fernando Rodriguez – juga dihasilkan pada babak pertama perlawanan – berjaya mengikat juara bertahan Liga Super itu menuju babak kedua. Bermula dengan sepakan penjuru yang menyebabkan situasi kelam kabut di hadapan gol, tandukan lambung Rodriguez tidak memberi peluang langsung kepada Farizal Marlias.



30' | GOL FERNANDO RODRIGUEZ!

Hijau Kuning menyamakan kedudukan selepas Rodriguez menanduk masuk dengan baik selepas sedikit kekalutan dihadapan gol JDT!

4. Faisal Halim vs Felda United

Faisal Halim merupakan pemain gantian di dalam perlawanan ini, dan beliau memberikan Dollah Salleh apa yang Pahang perlukan. Ketika kedudukan 2-1 memihak kepada skuad Tok Gajah, Felda United menguasai perlawanan dalam usaha memburu gol penyamaan.
Bermula dengan serangan balas pantas yang bermula di bahagian tengah, larian Faisal memerangkap pertahanan The Fighters, sebelum kemas menyempurnakan hantaran rakan sepasukan untuk mengesahkan Pahang kembali ke puncak Liga Super.



92' | GOL FAISAL HALIM!

Pahang selesa di hadapan dengan 3 gol selepas pemain yang baru dibawa masuk, Faisal Halim bijak melepaskan diri dari pertahanan The Fighters.@feldaunitedfc 1-3 @OfficialPahang

3. G. Mugenthirran vs Kuala Lumpur

PKNP FC akhirnya berjaya mencatat kemenangan pertama pada musim ini dengan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya kemenangan tersebut berjaya menyuntik keyakinan kepada anak buah Abu Bakar Fadzim – walaupun masih dalam bahaya kerana belum keluar dari zon penyingkiran.
Selepas Yashir Pinto meletakkan PKNP FC di hadapan, giliran G. Mugenthirran pula melebarkan pendahuluan pada babak pertama perlawanan. Jaringan tersebut dilakukan dengan keyakinan oleh bekas pemain Perak ini. Menggunakan kaki kiri, beliau merembat deras bola ke far-post, sekaligus mematikan langkah Sharbinee Alawee di hadapan gawang.



32' | GOL MUGENTHIRAN!

G.Mugenthiran menambah derita Warga Kota dengan gol kedua tuan rumah setelah menerima hantaran lintang dari sebelah kiri dan disudahkan dengan baik oleh beliau.@pknp_fc 2-0 @kualalumpurfa

2. Safawi Rasid vs Kedah FA

Kita semua tahu kebolehan Safawi Rasid untuk menjaringkan gol dari situasi bola mati. Dalam perlawanan menentang Kedah, Safawi sekali lagi membuktikan kemampuan tersebut di hadapan puluhan ribu penyokong di Stadium Darul Aman untuk memberikan JDT pendahuluan.
Pernah dikritik dengan ‘rembatan ke Planet Pluto’, Safawi pernah mendedahkan aspek penyudah termasuk dari sepakan percuma adalah antara latihan tambahan yang beliau tekankan. Jaringan menentang Kedah bukanlah antara jaringan sepakan percuma tercantik yang pernah dihasilkan oleh beliau. Tetapi ia jelas hasil usaha gigih pemain tersebut yang sentiasa mahu memperbaiki teknik dan memajukan diri.



10' | GOL SAFAWI RASID!

Gol pertama malam ini dijaringkan oleh Safawi Rasid melalui sepakan percuma menarik!

1. Giancarlo Rodriguez vs Kuala Lumpur

Skil, imaginasi, teknik, dan diikuti oleh penyudah yang meyakinkan. Demikianlah ungkapan terbaik untuk menggambarkan gol tercantik minggu ke-7 Liga Super Malaysia jaringan Giancarlo Rodriguez.
Sentuhan pertama oleh Rodriguez ialah untuk melepaskan diri dari hadangan pemain lawan. Sentuhan kedua bertujuan untuk melakukan kawalan terhadap bola. Ia diikuti oleh rembatan deras kaki kiri meyakinkan yang tidak memberi peluang kepada penjaga gol lawan.



63' | GOL GIANCARLO LOPES!

Gol ketiga terhasil di Manjung untuk pasukan tuan rumah. Kawalan baik, penyudah yang tenang, itulah Giancarlo Lopes!@pknp_fc 3-0 @kualalumpurfa

Rumusan

Anda mempunyai pilihan lain untuk jaringan tercantik minggu ke-7 unifi Liga Super Malaysia 2019? Nyatakan pendapat anda kepada kami. Kami mahu mendengarnya.

Ulasan