Langkau ke kandungan utama

Tiada jalan mudah buat JDT tahun ini - Sumareh

PEMAIN Pahang, MOHAMADU SUMAREH

PEMAIN Pahang, MOHAMADU SUMAREH

KUALA LUMPUR 26 April - Penyerang Pahang, Mohamadou Sumareh tetap yakin pasukannya mampu memberi cabaran kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perebutan kejuaraan Liga Super sehingga akhir musim ini. 


Skuad Tok Gajah ketika ini mengikuti rapat JDT di belakang dengan kedudukan kedua liga selepas mengumpul 24 mata dengan tujuh kemenangan manakala JDT menerajui liga dengan kelebihan dua mata. 


Pada musim lalu, Pahang harungi saingan Liga Super dengan cemerlang pada awal musim untuk mencabar JDT lebih rapat sebelum kehilangan momentum pada pertengahan musim sekali gus menamatkan aksi di kedudukan keempat secara keseluruhannya.


Bagaimanapun Sumareh menjelaskan Pahang akan tampil dengan prestasi lebih berbeza pada musim ini untuk menyaingi juara lima kali Liga Super itu hingga akhir musim untuk tidak memberi laluan mudah kepada JDT pertahankan kejuaraan.


“Pahang tidak lagi sama seperti musim lepas kerana tahun ini kami lebih bersedia untuk harungi saingan hingga ke penghujung musim. 

“
Kalau tahun lepas terdapat kecederaan atau penggantungan perlawanan, sukar untuk dapat pemain gantian yang lebih berpotensi. 


“Tetapi tahun ini lebih berbeza kerana pemain-pemain muda lain makin matang dan pilihan lebih ramai untuk masing-masing bersedia menggantikan mana-mana pemain jika terdapat kecederaan atau sebagainya”, katanya. 


Antara watak baharu yang muncul dalam skuad Pahang ialah Zuhair Aizat dan Saddil Ramdani selain Faisal Abdul Halim yang dilihat prestasi mereka kian meningkat sejak kebelakangan ini berbanding musim lalu.

Kedudukan itu akan berubah seandainya Pahang mampu memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila bakal berentap dengan JDT dalam perlawanan ke-11 Liga Super, Ahad ini. 


Jelas Sumareh, dia kini masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan corak permainannya apabila melakukan beberapa perubahan baharu pada musim ini untuk memastikan pihak lawan lebih sukar membaca gerakannya atas padang. 


“Saya boleh buat yang lebih baik pada musim ini jika dibandingkan tahun lalu kerana setiap musim, saya percaya pihak lawan makin memahami corak permainan saya. 


“Untuk itu, saya tidak boleh selesa dengan teknik yang sama sahaja dan perlu membuat beberapa perubahan teknik yang lebih baik agar mereka tidak mudah untuk menyaingi saya di atas padang”, katanya.- UTUSAN ONLINE

Ulasan