Tanpa Azam, Dickson mampukah Pahang lebur rekod tanpa kalah JDT di Kuantan?


Tanpa Azam, Dickson mampukah Pahang lebur rekod tanpa kalah JDT di Kuantan?


Pasukan yang menduduki tangga ke-2 Liga Super Malaysia, Pahang berhasrat untuk menewaskan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pertembungan yang dijadualkan berlangsung pada penghujung minggu ini, di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Menariknya, Pahang dan JDT belum mencatatkan sebarang kekalahan selepas mengharungi 10 perlawanan liga setakat ini dan hanya dipisahkan dengan perbezaan dua mata sahaja. Pastinya ia bakal menjadi tumpuan utama peminat bola sepak tempatan, lebih-lebih lagi ia bakal menentukan peluang kedua-dua pasukan merangkul kejuaraan pada musim ini.

Mengulas mengenai perlawanan minggu ke-11 Liga Super ini, pengendali Pahang, Dollah Salleh memberitahu anak buahnya perlu mengambil kesempatan bermain di laman sendiri untuk menewaskan pasukan JDT yang juga merupakan juara bertahan Liga Super Malaysia 2018.
Walaupun pasukan dengan julukan Harimau Selatan itu datang dengan label ‘bertaraf asia’, Dollah optimis dapat menjinakkan mereka berdasarkan rekod-rekod pertemuan terdahulu yang juga pernah memihak kepada skuad Tok Gajah.
“Kita kena menang…kita bermain di tempat sendiri kita kena gunakan kelebihan itu. JDT dengan reputasi dan keinginan mempertahankan kejuaraan itu menjadikan mereka sebuah pasukan yang sukar ditewaskan tetapi ia tidak mustahil, Pahang pernah kalahkan mereka beberapa kali sebelum ini.
“Pemain semua bermotivasi dan bersedia untuk menghadapi perlawanan Ahad ini meskipun menyedari JDT datang dengan pengalaman mereka bermain di peringkat tertinggi Asia. Kedua-dua pasukan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing,” katanya dalam Bernama.
Ditanya mengenai perancangan yang akan diterapkan oleh jurulatih berusia 55 tahun ini semasa menentang JDT kelak, Dollah Salleh mahu pemain-pemain Pahang memberikan persembahan 200% yakni lebih baik berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini.
“Tiada istilah kita kena bermain bertahan atau menyerang. Bagi saya bermain di gelanggang sendiri atau lawan pemain perlu sentiasa memberikan yang terbaik. Cuma untuk aksi ini saya harap pemain dapat berikan lebih dari biasa kita pamerkan,” tambah Dollah lagi.

Foto: Pahang FA

Bagaimanapun, Pahang terpaksa melupakan khidmat pemain tengah kreatif, Nor Azam Azih dalam pertembungan ahad nanti ekoran menjalani penggantungan kerana mengutip kad merah dalam aksi menentang Perak, sabtu lalu.
Turut sama berada dalam keadaan meragukan adalah penyerang prolifik mereka yang telah menjaringkan lima gol setakat ini, Dickson Nwakaeme yang ditimpa kecederaan semasa bermain menentang UKM FC, dalam pusingan ke-3 Shopee Piala FA, 17hb april lalu.
Apakah kesudahan kepada hasrat Pahang untuk menewaskan JDT di Kuantan, ahad kelak? Sama-sama kita nantikan.
Foto: Malaysian Football League

Ulasan