TAHNIAH ! JDT II KUKUHKAN CENGKAMAN
Penyokong Johor pasti semakin teruja untuk melihat dua wakil negeri itu merangkul kejuaraan utama dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas Johor Darul Ta’zim II (JDT II) terus mengukuhkan cengkaman pendahulu Liga Perdana dengan menumpaskan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Bandaraya, Georgetown, sebentar tadi.
Skuad Harimau Selatan bagaimanapun terpaksa menunggu hingga 20 minit terakhir permainan untuk membuka jaringan menerusi penyerang import dari Lebanon, Mohammed Ghaddar yang menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-69.
Lapan minit berselang, penyerang muda negara, S. Kumaahran memastikan JDT II pulang bersama tiga mata berharga apabila meledak gol kedua pasukan pelawat.
Kemenangan itu membolehkan JDT II mengukuhkan cengkaman pendahulu kepada enam mata mengatasi pencabar rapat, Sabah selepas mengumpul 21 mata daripada sembilan perlawanan.
Sabah di tangga kedua dengan 15 mata, diikuti UiTM FC (14), Selangor United (14) dan Terengganu FC II (12 mata).
Bagi Pulau Pinang, kekalahan kelima musim ini meletakkan mereka di tangga kesembilan dengan lapan mata.
Skuad utama Johor, JDT pula kini mengungguli saingan liga utama negara, Liga Super sekali gus meletakkan dua pasukan dari Johor berpotensi merangkul kejuaraan berganda – Liga Super dan Liga Perdana.
Ulasan
Catat Ulasan