Sumareh : Pahang akan pastikan JDT ‘sesak nafas’ sehingga akhir musim


Sumareh : Pahang akan pastikan JDT ‘sesak nafas’ sehingga akhir musim


Pahang akan memberi tentangan sengit kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam perebutan kejuaraan Liga Super sehingga ke akhir musim dan tidak akan sesekali mengulangi kesilapan musim lalu, demikian keyakinan disuarakan pemain sayap Mohamadou Sumareh.
Musim lalu, skuad Tok Gajah memulakan saingan Liga Super dengan langkahan cemerlang sehingga berjaya mencabar JDT lebih rapat tetapi kehilangan momentum pada pertengahan musim sekaligus terpaksa berpuas hati menamatkan aksi di kedudukan keempat.
Ketika ini selepas berakhir sepuluh perlawanan, pasukan yang dibimbing Dollah Salleh itu berada di kedudukan kedua liga selepas mengumpul 24 mata, hanya dua mata dipisahkan dengan JDT yang memimpin carta liga dengan 26 mata.
Kedua-dua pasukan masih belum tewas dan akan berentap sesama sendiri dalam aksi terakhir pusingan pertama di Stadium Darulmakmur, pada Sabtu (27 April).
Menjelang aksi getir itu, Sumareh berkata Pahang akan tampil dengan prestasi berbeza bagi memastikan Pahang kekal dalam misi merampas kejuaraan dan membuatkan sang harimau selatan ‘sesak nafas’ sehingga akhir musim.
“Kita menyerah awal pada musim lalu, selepas 12 atau 13 perlawanan kita sudah tidak mampu mengejar dan segalanya menjadi mudah buat JDT tetapi kali ini kita akan membuatkan mereka bekerja keras.
“Pahang tidak lagi sama seperti musim lepas, tahun ini kita lebih bersedia untuk harungi saingan hingga ke penghujung musim. Kalau tahun lepas terdapat sebarang kecederaan atau penggantungan perlawanan, sukar untuk dapat pemain gantian yang lebih berpotensi.
“Tetapi tahun ini lebih berbeza kerana pemain-pemain muda lain makin matang dan pilihan lebih ramai, masing-masing bersedia menggantikan mana-mana pemain jika terdapat kecederaan atau sebagainya dan kekuatan juga hampir setara,” ujar Sumareh.
Antara watak yang semakin menonjol dalam skuad Pahang musim ini ialah Zuhair Aizat dan Saddil Ramdani selain Faisal Abdul Halim serta Wan Zaharulnizam Zakaria yang dilihat kian meningkat dalam prestasi sejak kebelakangan ini berbanding musim lalu.
Mengenai prestasi dirinya, Sumareh, yang didaftarkan sebagai pemain tempatan bermula musim ini berkata dia masih sedang cuba menyesuaikan diri dengan corak permainannya yang baru.
“Saya boleh buat yang lebih baik pada musim ini jika dibandingkan tahun lalu kerana setiap musim, saya percaya pihak lawan makin memahami corak permainan saya.
“Untuk itu, saya tidak boleh selesa dengan teknik yang sama sahaja dan perlu membuat beberapa perubahan teknik yang lebih baik agar mereka tidak mudah untuk menyaingi saya di atas padang”, katanya.
Foto : Pahang FA

Ulasan