PENGURUS Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa. - FACEBOOK JOHOR Southern Tigers.
KUALA LUMPUR 18 April - Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa menegaskan pasukannya akan bangkit dalam aksi Liga Super selepas tersingkir daripada saingan Shopee Piala FA, malam tadi.
Meskipun bermain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin namun barisan kedua skuad Harimau Selatan gagal memanfaatkan kelebihan itu apabila tewas tipis 0-1 kepada PKNS FC sekali gus gagal meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir.
“Amat sukar apabila kami perlu bermain hanya dengan 10 pemain selepas 10 minit perlawanan bermula. Kami cuba untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama serta kami juga mempunyai beberapa peluang.
“Namun apa sekalipun keputusan, saya perlu berterima kasih dengan para pemain kerana telah melakukan sehabis baik.
“Kami akan bertemu pasukan PKNS sekali lagi pada Sabtu ini untuk saingan Liga Super. Kami telah melakukan penggiliran pemain kerana kami mempunyai banyak perlawanan.
“Para pemain juga agak keletihan disebabkan perlu berkunjung ke luar negara bagi menghadapi perlawanan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia,” katanya bekas penyerang JDT itu.
Skuad Harimau Selatan yang beraksi dengan 10 pemain tunduk dengan gol tunggal Kpah Sherman pada minit ke-48 untuk memastikan pasukan Semut Merah melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA, malah memberikan kekalahan pertama JDT di Larkin musim ini.
Dalam pada itu, Figueroa berkata, menyeru pemain-pemainnya memberi tumpuan sepenuhnya menjelang perlawanan Liga Super menentang lawan sama, Sabtu ini di Larkin.
“Untuk perlawanan seterusnya kami akan membariskan kesebelasan yang terbaik kerana Liga Super amat penting bagi kami kerana itu adalah objektif kami,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan