Skuad JDT B-16 Cipta Sejarah Mara Ke Separuh Akhir JSSL Professional Academy


Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mencipta sejarah baharu apabila pasukan bawah 16 tahunnya menjadi satu-satunya wakil Asia yang berjaya layak ke separuh akhir dalam Kejohanan JSSL Professional Academy 7’s Bawah-16 di Singapura semalam.
Kejohanan tersebut merupakan pertandingan peringkat akar umbi terbesar di Asia yang melibatkan penyertaan daripada beberapa pasukan akademi kelab terkemuka dunia seperti Arsenal, Liverpool, Barcelona dan Atletico Madrid.
JDT merupakan antara tiga kelab profesional dari Asia Tenggara yang menyertai kejohanan tersebut selain Persib Bandung (Indonesia) dan Bangkok United (Thailand) dan berentap bersama lebih 400 pasukan daripada 15 negara.
FOTO: JST
Bagaimanapun, mereka tidak berjaya mara ke peringkat akhir selepas tewas kepada skuad yang menjadi juara iaitu Arsenal FC dalam penentuan ‘sudden death’ selepas terikat pada masa penuh perlawanan.
Meskipun tewas, skuad bawah 16 JDT ini telah menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk bersaing dengan beberapa kelab ternama eropah. Atletico Madrid dan Valencia CF merupakan antara pasukan yang turut bersaing di peringkat separuh akhir.
FOTO: JST
“JDT menewaskan Fulham FC 1-0 di suku akhir selepas mengenepikan cabaran wakil Singapura, Anza Soccer A 5-0 di peringkat pusingan 16 pasukan terbaik.

“JDT layak ke peringkat kalah mati selepas melepasi halangan di peringkat kumpulan yang turut disertai Valencia, Urawa Reds, Fulham dan Persib Bandung. Pemain akademi JDT, Amirul Faqhi Jalil telah dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan oleh para jurulatih dari La Liga,” kata kenyataan dari laman facebook JOHOR Southern Tigers.

Skuad JDT Bawah-13 tahun turut bertanding dalam kategori B13 dan layak hingga ke suku akhir sebelum tewas kepada tuan rumah, JSSL FC juga dengan penentuan ‘sudden death’.
“Kejohanan-kejohanan seperti ini adalah sebahagian dari usaha berterusan Harimau Selatan sebagai pendedahan dan persediaan pemain Akademi JDT untuk masa hadapan. Akademi JDT memenangi empat trofi dalam semua pertandingan pada 2018 termasuk tiga Piala peringkat kebangsaan,” kata kenyataan tersebut.

Ulasan