KUANTAN - Corak permainan yang berhati-hati menyebabkan skuad Pahang gagal membenam Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.
Ketua Jurulatih Tok Gajah, Dollah Salleh juga tidak menyembunyikan rasa kecewa dengan prestasi anak buahnya yang disifatkan gagal memanfaatkan peluang selepas JDT terpaksa bermain dengan 10 pemain pada separuh masa kedua.
"Kita seharusnya bermain dengan lebih agresif apabila mempunyai kelebihan itu, tapi malangnya mereka dilihat lebih berhati-hati sehingga saya terpaksa meminta mereka untuk menunjukkan prestasi sebenar, tapi tidak banyak perubahan dilakukan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan itu, skuad Tok Gajah dikejutkan seawal minit keempat apabila pemain import Harimau Selatan Gonzalo Gabriel Cabrera Giordano, menolak masuk bola menewaskan penjaga gol Mohd. Helmi Eliza Elias.
Pemain pertahanan import Pahang, Herold Mark Goulon menceriakan penyokong tuan rumah, apabila tandukannya menerusi hantaran sepakan percuma Saddil Ramdani pada minit ke-35, berjaya menghasilkan gol penyamaan.
Prestasi hambar skuad Pahang juga menurut Dollah, disebabkan penyerang utama Dickson Nwakaeme masih belum mencapai tahap sebenar prestasinya kerana masih dihantui kecederaan paha.
"Keputusan menurunkan Nwakaeme dibuat kerana beliau tetap mahu bermain walaupun masih berada di tahap 50-50, namun terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua kerana dilihat tidak menunjukkan prestasi sebenar," katanya.
Keputusan seri semalam, menyaksikan JDT kekal di takhta Liga Super dengan 27 mata, diikuti Pahang yang mengumpul 25 mata selepas 11 perlawanan.
Pada perlawanan itu, JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain, apabila Mauricio Dos Santos Nascimento menerima kad merah selepas dilayangkan kad kuning kali kedua kerana mengasari Nwakaeme pada minit ke-45. - Bernama
Ulasan
Catat Ulasan