Setiausaha Agung PKNS FC, Md Adi Harmizi Ariffin mengakui pertembungan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019 pasti menarik kerana ia ibarat perlawanan ulangan final 2016.
Tiga tahun lalu, hajat PKNS untuk merangkul Piala FA buat kali pertama tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada skuad Harimau Selatan itu dalam pentas final di Stadium Shah Alam.
Pasukan kendalian Datuk K. Rajagobal itu yang melepasi pusingan kedua Shopee Piala FA dengan menewaskan Melaka 3-2, sekali lagi berdepan tugas sukar apabila diundi bertemu JDT yang menjadi antara salah satu pasukan pilihan untuk menjuarai Shopee Piala FA 2019.
Mengulas lanjut, Adi mendedahkan PKNS tetap bersedia untuk melakarkan kejutan ke atas juara lima kali Liga Super itu biarpun dalam masa yang sama menyedari ia bukan satu tugas mudah untuk beraksi di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.
“Sudah pastinya kami tampil sebagai pasukan bukan pilihan. Walaubagaimanapun, kami akan memberikan yang terbaik dan cuba sedaya upaya.
“Siapa tahu kami mungkin boleh melakarkan kejutan sebab dengan barisan pemain yang kami ada pada tahun ini, kami yakin PKNS boleh mencipta satu kejutan pada pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019 ini walaupun kami bermain di Larkin nanti,” katanya yang ditemui selepas selesai majlis undian hari ini.
Sementara itu, kapten Perak, Shahrul Saad menggesa rakan-rakan sepasukannya tidak memandang rendah terhadap cabaran Jerantut FA selepas juara dua kali Piala FA itu diundi bertemu wakil Liga M4 pada pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019.
Ini kerana Shahrul menegaskan dia tidak rela sasaran The Bos Gaurus untuk menjadi juara kali pertama sejak 2004 tersekat pada pusingan ketiga.
“Atas kertas mungkin kita boleh nampak Jerantut FA bermain di liga bawahan (Liga M4) tetapi saya fikir mereka mungkin sudah bersedia selepas melalui beberapa perlawanan dalam Shopee Piala FA 2019. Namun Perak akan berusaha bagi memastikan kami menang dalam perlawanan ini.
“Saya sendiri semestinya mahu menjulang Shopee Piala FA 2019 dan menjadi juara adalah sasaran Perak pada musim ini.
“Pemain-pemain Perak akan lebih bersedia untuk Shopee Piala FA, kita akan berikan fokus dan komitmen 100 peratus tidak kira perlawanan menentang siapa pun. Paling mustahak, Perak harus menang,” ujarnya.
Keputusan undian juga menyaksikan UKM FC bertemu juara bertahan Shopee Piala FA 2019, Pahang diikuti perlawanan Selangor menentang Felda United.
Manakala Kelantan United bakal menanti kunjungan Terengganu FC, Kedah akan menentang PJ City FC sementara Pulau Pinang bertemu Kuala Lumpur.
Sementara itu PKNP FC akan bertemu PDRM atau Sarawak selepas perlawanan kedua-dua pasukan itu terpaksa ditunda ekoran hujan lebat dan diadakan semula pada 9 atau 10 April ini.
Ulasan
Catat Ulasan