WALAUPUN Johor Darul Ta'zim (JDT) menang 3-1 menewaskan PKNS FC namun masih ada kelemahan dari aspek taktikal yang perlu diperbaiki seandai ingin terus kekal di tangga teratas Liga Super musim ini.
Pengurus JDT, Luciano Figueroa menegaskan `set-piece' yang cuba dilakukan dalam perlawanan itu tampak kurang berkesan dan harus diperkemaskan lagi untuk meneruskan momentum kemenangan dalam perlawanan seterusnya.
Beliau juga tidak menolak dua gol awal yang terhasil pada babak pertama memberi kelebihan buat skuad Harimau Selatan mencipta kemenangan tatkala aksi menentang skuad kendalian Datuk K Rajagobal tampak lebih terbuka.
"Memang kami perlu perbaiki `set-piece' dan ia tampak kurang berkesan dalam perlawanan itu malah menjejaskan kelancaran taktikal yang anda sendiri lihat pasukan lawan pantas memintas gerakan berbahaya.
"Dari awal perlawanan kami mahu mencari gol dan usaha itu berhasil. Permainan juga lebih terbuka dan pasukan lawan tidak berkampung di kawasan sendiri kerana mereka juga mahu mencari gol menyebabkan perlawanan lebih menarik.
"Kami berpeluang menjaringkan gol tetapi sentuhan terbaik sering dikecewakan sama ada tersasar atau dihalang penjaga gol lawan. Sepatutnya senario itu tidak boleh berlaku dan pemain kena lebih fokus," katanya.
Figueroa juga mengakui corak permainan pada babak kedua agak perlahan dan membolehkan PKNS FC merapatkan jurang gol namun selepas gol itu, pemain JDT mula sedar kebangkitan anak didik Rajagobal dan kembali memperkemaskan umpanan dan gerakan.
Beliau berkata, pemain seharusnya bersikap lebih bijak tatkala berada dalam kedudukan selesa untuk memenangi perlawanan itu dengan mengawal permainan tanpa membuka ruang kepada barisan pemain PKNS FC.
Katanya, peluang yang terhidang sering terlepas malah menganggap nasib tidak menyebelahi Diogo Luis Santo yang boleh mencipta jaringan tetapi gagal melakukan penyudah tatkala pemain itu bekerja keras membantu JDT.
"Saya faham perasaan Diogo kerana saya pernah alami situasi itu. Dia kena terus mencuba memandangkan dia pemain penting dalam JDT dan saya percaya dia menjaringkan gol dalam aksi seterusnya," katanya.
Aksi seterusnya JDT lebih mencabar apabila memulakan kempen pusingan kedua menentang kelab dari China, Shandong Luneng FC dalam saingan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Rabu ini.
Ulasan
Catat Ulasan