PREVIU - LIGA SUPER LS8. #LigaSuper2019


PREVIU - LIGA SUPER LS8

Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam misi rebut kembali takhta Liga Super apabila mereka bakal bertemu Felda United FC di Stadium Tan Sri Dato’ HJ Hassan Yunos pada malam ini.

JDT, selaku juara bertahan, menduduki tempat kedua di liga dengan 17 mata, di belakang Pahang atas perbezaan gol.

Pasukan Harimau Selatan juga merupakan satu-satunya pasukan dengan rekod 100% kemenangan di stadium sendiri.

Felda United FC, yang menduduki tempat ke-10 dengan enam mata, berharap mendapat keputusan positif selepas mengalami kekalahan dua perlawanan terakhir di liga.

Namun begitu, Felda menang tipis 1-0 ke atas pasukan Liga M3, Kuching FA dalam pusingan kedua Shopee Piala FA pada hari Rabu lepas.

Ketua jurulatih Felda, Nidzam Jamil mengakui JDT berada dalam kelas yang berbeza dan mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri malam ini.

"Saya berharap pemain-pemain dapat bermain dengan baik apabila bertemu JDT. Dari segi kualiti pemain, JDT lebih kuat dan mereka mendapat kelebihan dalam perlawanan ini. JDT mempunyai ramai pemain bintang di mana ramai bermain untuk pasukan negara. Mereka juga mempunyai pemain import yang berkualiti. Bagaimanapun, kami tidak mempunyai tekanan dalam perlawanan ini. Saya telah mengingatkan pemain saya supaya tidak membenarkan JDT mendominasi perlawanan ini," kata Nidzam.

Ketua pasukan Hadin Azman adalah penjaring terbanyak The Fighters dengan tiga gol, termasuk dua gol hasil sepakan percuma.

Selain itu, tiga perlawanan akan berlangsung pada hari Sabtu. Kedah, yang menduduki tempat ke-3, akan bertemu Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pasukan tuan rumah, yang masih belum memperolehi kemenangan dalam aksi Liga Super, akan mengharapkan Guilherme de Paula dan Indra Putra Mahayuddin untuk memberikan cabaran hebat kepada pasukan Kedah yang memerlukan tiga mata penuh untuk mengejar pasukan-pasukan pendahulu liga.

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, "Memang sukar untuk bermain dengan pasukan-pasukan yang belum mencapai keputusan positif.

"Kita perlu membuat perancangan awal sebelum bertemu Kuala Lumpur. Mereka akan memberi tentangan hebat kepada kita, "kata Aidil.

Selangor yang berjaya memenangi dua perlawanan terakhir liga akan bertemu Melaka di Stadium Hang Jebat pada hari Sabtu juga.

Pasukan tuan rumah masih mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri, dan tidak bolos sepanjang 265 minit di Stadium Hang Jebat.

Gergasi Merah pula akan diperkuatkan oleh Faiz Nasir yang telah menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan terakhir beliau termasuk dua gol dalam aksi Shopee Piala FA.

Selain itu, Terengganu FC akan menerima kunjungan PKNP FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pendahulu liga, Pahang akan berusaha untuk memungut tiga mata penuh apabila bertemu PJ City FC pada Ahad ini, manakala Perak akan melawan PKNS FC, yang menduduki tempat ke-4 di Ipoh.

Perlawanan Melaka lwn Selangor akan disiarkan secara langsung di TV9, manakala semua perlawanan LS8 akan disiarkan di iflix.

Ulasan