PKNS RANAPKAN KEMARAAN JDT DI PUSINGAN KETIGA PIALA FA



PKNS RANAPKAN KEMARAAN JDT DI PUSINGAN KETIGA PIALA FA

PKNS Ranapkan Kemaraan JDT Di Pusingan Ketiga Piala FA

PKNS FC malukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sendiri selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas skuad Harimau Selatan yang beraksi dengan 10 pemain pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Kpah Sherman muncul wira PKNS apabila jaringan tunggal pada minit ke-48 cukup untuk memastikan pasukan Semut Merah melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA dan memberikan kekalahan pertama JDT di Larkin musim ini.
Langkah JDT sumbang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain seawal minit ke-10 selepas pemain pertahanan, Kiko Insa dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan Muhamad Faizat Mohamad Ghazli
Sherman hampir merobek gawang pasukan tuan rumah pada minit ke-18 namun percubaannya diselamatkan Izham Tarmizi yang melakukan tugas yang baik dalam posisi satu lawan satu.
Biarpun beraksi dengan kurang seorang pemain, ia tidak menyekat skuad bimbingan Luciano Figueroa untuk mencipta serangan menerusi percubaan yang direncanakan Akhyar Rashid dan Ahmad Hazwan Bakri.
Syafiq Ahmad mempunyai dua peluang berganda pada minit ke-30 menerusi sepakan sudut namun tandukan dan rembatannya berjaya dinafikan Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.
Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Datuk K.Rajagobal tidak menunggu lama untuk mencipta jaringan menerusi tandukan dari jarak dekat Sherman menyudahkan hantaran silang R.Surendran.
Figueroa yang bertindak merehatkan beberapa pemain utama melakukan pertukaran dengan membawa masuk Diogo Luis Santo dan Safawi Rasid bagi memburu gol penyamaan namun gagal menemui gawang lawan.
Sherman hampir menambah jaringan pada babak akhir permainan namun mensia-siakan peluang keemasan itu dan keputusan kekal ke wisel penamat.

Ulasan