KELAB Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) berdepan tugas getir dalam misi melangkah jauh pada saingan Piala FA selepas diundi bertemu pasukan gergasi Johor Darul Ta'zim (JDT) di pusingan ketiga yang akan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato' Hj. Hassan Yunos, Larkin pada pertengahan bulan ini.
Skuad The Red Ants kendalian Datuk K. Rajagobal itu berjaya melayakkan diri ke pusingan ketiga selepas menyingkirkan Melaka United dengan kemenangan 3-2 pada aksi pusingan kedua di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Kapten pasukan PKNS FC, K. Gurusamy mengakui JDT lebih layak dilabel sebagai pasukan pilihan pada pertemuan yang dianggap sebagai ulangan final Piala FA edisi 2016 yang mana pasukan Harimau Selatan itu menjulang trofi berkenaan dengan kemenangan 2-1.
“Secara jujurnya, ia adalah undian yang sukar buat kami tetapi sekiranya kami berhajat untuk melangkah jauh, sudah tentu kami akan bertemu dengan pasukan terbaik. Cuma, buat masa ini kelebihan di atas kertas memihak kepada JDT kerana kami akan bermain di gelanggang mereka.
“Apa yang pasti, kami tetap bermotivasi tinggi selepas berjaya menyingkirkan satu lagi pasukan negeri, Melaka United semalam (kelmarin) dan diharapkan rakan-rakan sepasukan yang lain dapat meneruskan momentum ini pada pusingan seterusnya,” kata Gurusamy kepada pemberita semalam.
Sementara itu, Rajagobal gembira dengan aksi komited yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya selepas bangkit daripada aksi hambar dalam saingan Liga Super yang menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Petaling Jaya City (PJ City FC) minggu lalu.
“Ini adalah kemenangan penting yang berjaya dicatat oleh pasukan kami selepas tidak bernasib baik pada pertemuan menentang PJ City, Sabtu lalu. Secara jujur, Melaka bukanlah lawan yang mudah kerana kita tewas kepada mereka dalam aksi liga sebelum ini.
“Namun, saya tidak mahu barisan pemain terlalu gembira kerana masih banyak ruang yang boleh diperbaiki. Ini kerana kami dilihat mudah leka ketika selesa mendahului 3-0 dan membenarkan lawan menjaringkan dua gol pada penghujung perlawanan,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan