PKNS menang bukan kerana nasib - Rajagobal



K Rajagobal

JOHOR BAHRU: Pengendali PKNS FC, Datuk K Rajagobal menolak tanggapan kejayaan anak buahnya menjinakkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam tadi, sebagai nasib.
Sebaliknya, beliau berkata, semua pemainnya menunjukkan prestasi baik untuk mengekang kemaraan JDT yang dikenali kerana memiliki reputasi cemerlang, lebih-lebih lagi di hadapan ribuan penyokong di laman sendiri.


"Walaupun tahu JDT adalah sebuah pasukan yang kuat, kita datang dengan pemikiran positif untuk menang. Saya lihat semua pemain menunjukkan komitmen yang cukup tinggi dan bermain dengan baik.
"Kemenangan ini bukan disebabkan nasib kerana kita dapat lihat beberapa kali kita berjaya menembusi pertahanan lawan dengan Kpah Sherman berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol.
"Tidak dinafikan nasib juga penting dalam perlawanan, tapi saya mahu katakan kemenangan ini bukan disebabkan nasib. Pemain saya bemain dengan baik menentang pasukan yang sangat kuat," katanya selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, PKNS FC mengejutkan JDT dengan kemenangan 1-0 untuk mara ke suku akhir hasil jaringan Sherman pada minit ke-49 yang menewaskan penjaga gol Mohd Izham Tarmizi Roslan.
Terdahulu, JDT terpaksa bermain 10 orang selepas pertahanannya, Kiko Insa dibuang padang pada minit ke-10.
Mengulas mengenai kad merah yang dilayangkan kepada Insa selepas mengasari pemainnya, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali, Rajagobal berkata, tiada perubahan taktikal dilakukan selepas itu.
"Selepas Insa dilayangkan kad merah, saya ada fikir untuk melakukan sesuatu, namun kita sedar JDT mempunyai pemain yang berkualiti di semua bahagian.
"Tanpa seorang pemain pun mereka masih mampu memberi tekanan kepada kita. Jadi saya arahkan semua pemain supaya kekalkan disiplin dan jangan beri ruang kepada lawan untuk melakukan gerakan kerana kita tahu mereka mempunyai kemahiran individu yang cukup baik," katanya.
Sementara itu, Pengurus JDT, Luciano Fugueroa, mengucapkan terima kasih kepada semua pemainnya yang bermain dengan bersungguh-sungguh walaupun tanpa Insa.
"Keadaan sangat sukar kerana kita kehilangan seorang pemain pada awal permainan, namun semua pemain tetap cuba memberikan yang terbaik," katanya.

Ulasan