JOHOR BAHRU: PKNS FC mengejutkan Johor Darul Ta'zim (JDT) di laman sendiri apabila menang 1-0 seterusnya mara ke suku akhir Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, sebentar tadi.
Walaupun bermula garang dan menguasai permainan, JDT tewas dengan serangan mengejut PKNS FC menerusi gol Kpah Sherman pada minit ke-49 yang menewaskan penjaga gol Mohd Izham Tarmizi Roslan.
Terdahulu, rentak JDT yang mula rancak pada separuh masa pertama diiringi sorakan dan nyanyian ribuan penyokong terbantut pada minit ke-10 apabila Kiko Insa dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain PKNS FC, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali.
Walaupun bermain dengan 10 pemain, JDT enggan mengecewakan penyokong yang tidak berhenti memberi sokongan dengan tetap menguasai perlawanan dan melakukan beberapa percubaan menarik namun tidak menghasilkan gol.
Peluang terbaik JDT hadir pada minit ke-30 dan 31 menerusi dua hantaran sudut dari sebelah kanan padang, namun Muhammad Syafiq Ahmad gagal meledak gol apabila penjaga gawang lawan, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin cemerlang menepis bola keluar.
Bermula separuh masa kedua, PKNS FC menggandakan asakan sebelum Sherman mendapat peluang merembat hantaran Gabriel Guerra untuk gol kemenangan skuad Semut Merah.
JDT cuba menyamakan kedudukan namun segalanya seakan tidak menjadi.
Peluang terbaik Skuad Harimau Selatan hadir pada minit ke-75 apabila Muhammad Safawi Rasid merembat deras hantaran rakan sepasukan di dalam kotak penalti namun terkena kaki pemain lawan.
Beberapa percubaan JDT selepas itu turut gagal dengan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Ulasan
Catat Ulasan