Langkau ke kandungan utama

Piala FA: PKNS FC rentap ego JDT

JDT

Pemain JDT Ahmad Hazwan Bakri diasak pemain PKNS FC Nicholas Ryan Swirad pada perlawanan Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin hari ini. JDT tewas 1-0. - Foto oleh Bernama
KUALA LUMPUR - Jurulatih kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), Datuk K. Rajagobal tetap mempertahankan kemenangan pasukan dan tidak merasakan ia sekadar nasib selepas menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 1-0 bagi aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin semalam.
Keputusan itu sekali gus berjaya merentap ego skuad Harimau Selatan yang bermain di hadapan penyokong sendiri selepas terpaksa melupakan hasrat memburu kejuaraan Piala FA musim ini setelah dimalukan dengan jaringan tunggal Kpah Sherman pada minit ke-49 apabila kekurangan seorang pemain ekoran Kiko Insa telah dilayangkan kad merah pada minit ke-11 perlawanan.
Rajagobal menjelaskan pasukannya bukannya memperoleh kemenangan nasib berdasarkan kesungguhan serta percubaan yang dihasilkan oleh pemainnya ketika bertandang ke tempat lawan.
“Kalau anda katakan ia kemenangan nasib, adakah kamu lihat aksi ini secara keseluruhan kerana kami mempunyai banyak peluang keemasan.
“Saya bukan katakan nasib meskipun dalam sesebuah perlawanan memang kita perlukan nasib menyebelahi pasukan.
“Namun kita perlu tahu PKNS FC kali ini berdepan pasukan yang bagus dan ia bukan satu tugas mudah buat pasukan.
“Kejayaan ini merupakan suntikan semangat kepada pemain dan saya tetap mengatakan JDT adalah salah satu pasukan yang baik kerana mereka telah memberikan saingan yang hebat sebelum kami mendapatkan kemenangan,” katanya selepas perlawanan semalam.
Dalam pada itu, bekas pengendali skuad kebangsaan tersebut mengakui JDT sentiasa memberikan tekanan kepada pasukan lawan di Larkin meskipun mereka kekurangan seorang pemain.
“Kad merah tidak mengubah taktikal pasukan kerana kita tahu walaupun saya ada terfikir untuk lakukan sesuatu tetapi JDT mempunyai pemain yang berkualiti dalam semua bahagian.
“Tanpa seorang pemain pun mereka boleh memberikan tekanan kepada PKNS FC. Saya hanya mahu pemain kekalkan disiplin di atas padang dan jangan beri ruang kepada JDT kerana mereka mempunyai bakat individu yang cukup baik,” ujarnya. - K! ONLINE

Ulasan