Pemain pamer disiplin tinggi: Figueroa


PENGURUS Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa memuji disiplin pemainnya selepas terikat 1-1 berdepan Pahang, malam tadi.
Beliau berkata, beraksi 10 pemain sepanjang tempoh 45 minit perlawanan pada babak kedua membuktikan bahawa skuad itu berjaya menyerap tekanan.
"Saya gembira dengan disiplin ditunjukkan mereka (pemain) selepas kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua... keputusan ini sudah cukup bagi kita meraih satu mata dan mempertahankan kedudukan selaku pendahulu Liga Super.
"Bagi saya, perlawanan malam tadi begitu sengit dan pemain dapat mempamerkan aksi terbaik mereka walaupun menerima tentangan hebat dari tuan rumah," katanya.
Pada perlawanan itu, pemain pertahanan import JDT, Mauricio Nascimento diperintah keluar padang oleh pengadil Mohd Zohri Tajuddin selepas mengutip kad kuning kedua sebelum rehat separuh masa pertama.
Harimau Selatan berjaya mencatat keputusan seri hasil jaringan penyerang import dari Argentina, Gonzalo Cabrera minit keempat sebelum pemain import Pahang, Herold Goulon menyamakan kedudukan minit ke-35.
Figueroa meminta pemainnya kembali beraksi lebih bertenaga sebaik pusingan kedua bersambung.

Ulasan