Peluang Pahang '50-50' kata Dollah




BIARPUN memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, Dollah Salleh mengakui peluang skuad Pahang untuk menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahad ini adalah 50-50. 
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, dengan rekod tanpa kalah yang dipegang kedua-dua pasukan memerlukan skuad Tok Gajah bijak memanfaatkan segala peluang yang ada. 
"Bagi saya, peluang untuk menang ke atas JDT adalah 50-50. Tapi, pemain mampu mencapai misi kemenangan jika bermain pada prestasi terbaik. 
"Segalanya terpulang kepada persefahaman dan kerjasama sepanjang 90 minit perlawanan untuk menghalang lawan daripada melakukan jaringan. 
"Oleh itu, pemain perlu memanfaatkan segala peluang yang ada kerana lawan sudah pasti mahu membawa pulang mata untuk mengukuhkan kedudukan dalam liga," katanya. 
Skuad Tok Gajah berkemungkinan menyenaraikan penyerang import, Dickson Nwakaeme untuk merobek gawang Harimau Selatan itu. 
Namun, segalanya akan diputuskan dalam tempoh 24 jam kerana penyerang Nigeria itu belum pulih kecederaan hamtring dan hanya menjalani latihan ringan. 
Pada masa sama, ketiadaan perancang tengah, Nor Azam Azih yang digantung satu perlawanan akibat dilayangkan kad merah pada perlawanan dengan Perak minggu lalu turut memberi kesan. 
Justeru, Dollah dijangka mempertaruhkan Jose Eduardo dan Norshahrul Idlan Talaha sekiranya Nwakaeme tidak dapat disenaraikan. 
Dollah turut mengalu-alukan sokongan padu peminat skuad Tok Gajah untuk memenuhkan Stadium Darul Makmur, Kuantan. 
"Saya percaya dengan kehadiran peminat yang ramai, ia dapat menyuntik semangat buat pemain untuk bermain dengan lebih baik lagi," katanya.

Ulasan