Peluang 50-50 atasi JDT - Dollah



DOLLAH Salleh




KUANTAN: Biarpun memiliki kelebihan beraksi di Stadium Darul Makmur Ahad ini, Dollah Salleh mengakui peluang skuad Pahang untuk menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah 50-50.  


Bekas pemain kebangsaan itu berkata, dengan rekod tanpa kalah dipegang kedua-dua pasukan memerlukan skuad Tok Gajah bijak memanfaatkan segala peluang yang ada.  
"Bagi saya, peluang untuk menang ke atas JDT adalah 50-50. Tapi, pemain mampu mencapai misi kemenangan jika bermain pada prestasi terbaik.  
"Segalanya terpulang kepada persefahaman dan kerjasama sepanjang 90 minit perlawanan untuk menghalang lawan daripada melakukan jaringan.  
"Oleh itu, pemain perlu memanfaatkan segala peluang yang ada kerana lawan sudah pasti mahu membawa pulang mata untuk mengukuhkan kedudukan dalam liga," katanya.  
Pada perlawanan Ahad ini, difahamkan, skuad Tok Gajah kemungkinan menyenaraikan penyerang import, Dickson Nwakaeme untuk merobek gawang Harimau Selatan itu.  
Namun, segalanya akan diputuskan dalam tempoh dua hari kerana penyerang Nigeria itu belum pulih daripada kecederaan hamstring dan hanya menjalani latihan ringan.  
Pada masa sama, ketiadaan perancang tengah, Nor Azam Azih yang digantung satu perlawanan kerana dilayangkan kad merah pada perlawanan dengan Perak minggu lalu turut memberi kesan kepada pasukan itu.  
Justeru, Dollah dijangka mempertaruhkan Jose Eduardo dan Norshahrul Idlan Talaha sekiranya Nwakaeme tidak dapat disenaraikan.  
Dalam pada itu, Dollah mengalu-alukan sokongan padu peminat skuad Tok Gajah untuk memenuhkan Stadium Darul Makmur.  
"Saya percaya dengan kehadiran peminat yang ramai, ia dapat menyuntik semangat buat pemain untuk bermain dengan lebih baik lagi," katanya.

Ulasan