Pahang vs Johor Darul Ta’zim: 3 Perkara Menarik Perlu Anda Tahu


Pahang vs Johor Darul Ta’zim: 3 Perkara Menarik Perlu Anda Tahu


Top of the Table Clash’
Pada jam 9 malam ini berlangsung perlawanan di antara Pahang dan Johor Darul Ta’zim di Stadium Darul Makmur (SDM), Kuantan. Menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tempatan di mana ia bakal menentukan pasukan manakah bakal meneraju liga selepas 11 perlawanan.
Bagi menghangatkan lagi perlawanan tumpuan pada minggu ini, FOX Sports Malaysia menyajikan 3 perkara menarik tentang pertembungan malam ini melibatkan rekod pertemuan di SDM, prestasi semasa pasukan dan pemain tumpuan pilihan kami:



#1 Rekod pertemuan di Stadium Darul Makmur

Foto: Pahang FA

Jika dilihat kepada rekod pertembungan di antara kedua-dua pasukan sejak tahun 2013 di Stadium Darul Makmur, keputusan lebih memihak kepada Pahang di mana mereka mencatatkan kemenangan sebanyak 5 kali dan JDT pula hanya 3 kali. Baki 4 perlawanan lagi berkesudahan dengan keputusan seri.
Bagaimanapun, jika kita amati dengan sedikit mendalam, ketiga-tiga kemenangan yang dicatatkan JDT adalah dalam saingan liga. Manakala 3 daripada 5 kemenangan yang diperolehi skuad Tok Gajah pula adalah dalam saingan piala.
Berikut adalah rekod pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Makmur, Kuantan:
Pahang 1-1 JDT (suku akhir Piala Malaysia 2018)
Pahang 0-0 JDT (suku akhir Piala FA 2018)
Pahang 1-2 JDT (Liga Super 2018)
Pahang 0-2 JDT (Liga Super 2017)
Pahang 3-1 JDT (suku akhir Piala FA 2017)
Pahang 0-6 JDT (Liga Super 2016)
Pahang 1-1 JDT (Piala FA 2015) *Pahang menang penentuan sepakan penalti 4-2
Pahang 1-1 JDT (Liga Super 2015)
Pahang 1-0 JDT (separuh akhir Piala FA 2014)
Pahang 3-2 JDT (Liga Super 2014)
Pahang 3-2 JDT (Liga Super 2013)
Pahang 2-1 JDT (separuh akhir Piala FA 2013)

#2 Prestasi semasa pasukan
Jika dilihat kepada 5 perlawanan terakhir oleh kedua-dua pasukan, Pahang dilihat mempunyai motivasi yang lebih baik. Tiada sebarang kekalahan dicatatkan dalam 5 perlawanan terdahulu membabitkan saingan Liga Super dan Piala FA. Malah, mereka turut menang tiga perlawanan tanpa bolos. JDT pula terlibat dengan 3 pertandingan membabitkan Piala FA, Liga Super dan Liga Juara-Juara AFC. Hanya berjaya mencatatkan 2 kemenangan dan bolos hampir kesemua 5 perlawanan terakhir kecuali ketika menentang PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Keputusan 5 perlawanan terakhir Pahang:

Foto: Pahang FA

Perak 0-1 Pahang (Liga Super)
UKM FC 0-1 Pahang (Piala FA)
PKNS FC 1-2 Pahang (Liga Super)
Pahang 1-1 PJ City FC (Liga Super)
Pahang 4-0 PIB FC (Piala FA)
Keputusan 5 perlawanan terakhir JDT:

Foto: JOHOR Southern Tigers

JDT 0-1 Shandong Luneng (Liga Juara-Juara AFC)
JDT 3-1 PKNS FC (Liga Super)
JDT 0-1 PKNS FC (Piala FA)
PJ City FC 0-1 JDT (Liga Super)
Shandong Luneng 2-1 JDT (Liga Juara-Juara AFC)

#3 Pemain tumpuan pilihan FOX Sports Malaysia
Di sini, kami memilih dua pemain yang harus diberikan tumpuan dalam perlawanan yang dapat disimpulkan umpama buku bertemu ruas pada malam ini:
Gonzalo Cabrera (7 gol) – JDT

Grafik: Malaysian Football League

Memimpin carta penjaring terbanyak Liga Super Malaysia dengan rekod 7 gol dalam 10 perlawanan. Pemain sayap kiri yang laju dan lincah ini bakal memberikan masalah kepada bek kanan Pahang, Matt Davies. Cabrera seringkali mendapat sokongan daripada La’Vere Corbin-Ong ketika menyerang. Bijak mengambil peluang terbuka dan mempunyai sentuhan penyudah yang berbisa, itulah yang menyebabkan pemain kelahiran Argentina ini berjaya menemui jaring lawan sebanyak 7 kali.
Herold Goulon (3 gol) – Pahang

Foto: Pahang FA

Pertahanan tinggi lampai ini semakin menjadi kesayangan peminat-peminat Tok Gajah. Kehadiran pemain Perancis inilah yang menjadikan Pahang melepaskan gol paling sedikit dalam saingan liga musim ini selain daripada ketangkasan Helmi Eliza dihadapan gawang. Hanya 6 gol sahaja yang dilepaskan dalam 10 perlawanan. Dijangka, beliau diberikan peranan khusus untuk mengikat penyerang Harimau Selatan, Diogo Luis Santo. Selain daripada mempamerkan aksi mantap ketika bertahan, Herold Goulon juga menjadi senjata buat Tok Gajah ketika barisan hadapan buntu untuk mencipta jaringan melalui ketinggian beliau dalam situasi ‘set pieces’ – sepakan percuma dan sepakan penjuru.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Ulasan