PASUKAN Pahang gagal memanfaatkan kelebihan keemasan untuk merampas takhta pendahulu Liga Super apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 pada aksi penuh sengit di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
Skuad Tok Gajah memiliki peluang terbaik untuk memintas juara lima kali Liga Super itu apabila pertahanan import Harimau Selatan, Mauricio Dos Santos dilayangkan kad merah pada masa babak pertama ekoran kekasaran dilakukan terhadap Dickson Nwakaeme.
Pada aksi tersebut, skuad Harimau Selatan yang dibimbing Benjamin Mora memulakan saingan dengan langkah kanan apabila penyerang sensasi, Gonzalo Cabrera bijak memperdayakan pertahanan lawan dengan gol pembukaan seawal minit ke-5.
Tidak berhenti setakat itu, JDT terus mengasak kubu pasukan tuan rumah menerusi jentera serangan berbisa, Safawi Rasid dan Diogo Luis Santo tetapi berjaya dinafikan oleh penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias.
Enggan terus dihimpit JDT, skuad kendalian Dollah Salleh mula memperkemaskan jentera serangan dan usaha mereka berjaya apabila pertahanan import dari Perancis, Herold Goulon menanduk masuk sepakan percuma yang diambil oleh Saddil Ramdani pada minit ke-36.
Pada masa sama, malang terus menimpa juara bertahan Liga Super itu apabila diarahkan beraksi dengan 10 pemain apabila Mauricio dilayangkan kad merah pada masa kecederaan babak pertama.
Pahang semakin mendapat keyakinan pada babak kedua dengan menguasai sebahagian besar perlawanan dan hampir berjaya meraih gol kemenangan tetapi rembatan pemain gantian, Muhd. Zuhair Aizat pada minit ke-84 tersasar.
Keputusan tersebut menyaksikan kedudukan Pahang di tangga kedua kekal dengan dibezakan dua mata berbanding JDT apabila mengutip 25 mata selepas mengharungi 11 perlawanan.
Ulasan
Catat Ulasan