Pahang gagal manfaat kelebihan


PAHANG gagal memanfaatkan kelebihan beraksi lebih seorang pemain apabila terikat 1-1 dengan pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, malam ini.
JDT beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua apabila pertahanan import, Mauricio Nascimento diarahkan keluar padang oleh pengadil Zohri Tajuddin kerana mengutip kad kuning kedua sejurus sebelum rehat.
Namun kesempatan itu tidak digunakan sebaiknya Pahang pada perlawanan yang digembar-gemburkan hebat mempertemukan dua pasukan teratas liga.
Harimau Selatan, yang mendahului Pahang dengan perbezaan dua mata, mengejutkan tuan rumah seawal minit kelima apabila penyerang import dari Argentina, Gonzalo Cabrera memecah kebutuan selepas menyambut baik umpanan rakan senegara Leandro Velazquez.
Tersentak jaringan itu, tuan rumah berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan dan peluang terbaik menerusi rembatan Saddil Ramdani tetapi bola sedikit melepasi palang JDT pada minit ke-14.
Pada minit ke-36, bagaimanapun mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan pertahanan tinggi lampai Tok Gajah, Herold Goulon.
Goulon melonjak tinggi untuk menanduk masuk sepakan percuma Saddil sekali gus menceriakan penyokong tuan rumah.
Lima minit kemudian, Cabrera menjaringkan gol kedua tetapi jaringan itu dibatalkan kerana penyerang itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Pahang yang memerlukan kemenangan untuk merampas tangga teratas gagal melepasi kubu Harimau Selatan sekali gus skuad kendalian Dollah Salleh kekal di tangga kedua liga.

Ulasan